Lepasan MRSM jadi jurutera Tesla di AS

Fakhirah bertugas sebagai pengajar latihan teknikal robotik di Tesla yang berpangkalan di California, AS.
Fakhirah bertugas sebagai pengajar latihan teknikal robotik di Tesla yang berpangkalan di California, AS.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang anak Malaysia lepasan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab berjaya menjadi jurutera di sebuah syarikat peneraju kereta elektrik dunia dan tenaga bersih di Amerika Syarikat (AS) iaitu Tesla.

Berita kejayaan Fakhirah Khairuddin yang kini menetap di Fremont, California itu dikongsikan sebuah akaun Facebook, Dr Zulkifli Hussain pada Jumaat.

Fakhirah yang merupakan bekas pelajar MRSM Ulul Albab, Kota Putra, Terengganu bertugas sebagai pengajar latihan teknikal robotik di syarikat berkenaan.

Maklumat daripada laman sosial kerjaya iaitu LinkedIn menunjukkan Fakhirah yang merupakan graduan ijazah sarjana muda dan sarjana dalam kejuruteraan mekanikal dan aeroangkasa dari University of California San Diego, AS mula bertugas di situ pada Julai lalu.

Sementara itu, Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerusi hantaran di Facebook rasmi yang berkongsikan hantaran Dr Zulkifli pada Jumaat turut melahirkan penghargaan terhadap kejayaan Fakhirah itu.

"Perkongsian Dr Zulkifli kali ini membawakan satu contoh pelajar MRSM Ulul Albab yang berjaya menjadi jurutera di sebuah syarikat gergasi di AS.

"Tahniah Fakhirah Khairuddin atas kejayaan anda dan menjadi produk kebanggaan buat MRSM!" tulis hantaran itu.

MRSM Ulul Albab merupakan institusi pendidikan menengah di bawah Mara yang ditubuhkan bertujuan untuk melahirkan ahli profesional dengan memiliki penghayatan al-Quran yang tinggi.

Artikel Berkaitan: