Harimau belang bunuh Orang Asli ditembak selepas serang anggota Perhilitan

IPOH - Seekor harimau belang yang dipercayai menyerang dan membunuh seorang lelaki Orang Asli di Kampung Bawong di sini ditembak selepas haiwan liar itu menyerang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang sedang menjalankan operasi pemantauan awal pagi Khamis.
Perhilitan dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi ketika kakitangannya menjalankan operasi kawalan dan pemantauan susulan insiden serangan harimau belang yang mengorbankan Ngah Itam, 65, pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, tembakan dilepaskan dari jarak kira-kira 10 meter bagi mempertahankan diri serta mengelakkan ancaman terhadap keselamatan anggota.
"Tembakan berkenaan mengenai bahagian bahu kanan serta belakang leher harimau belang terbabit.
"Haiwan itu kemudian melarikan diri sebelum berjaya dijejaki anggota Perhilitan. Karkas harimau berkenaan ditemukan kira-kira 20 meter dari lokasi serangan," menurut kenyataan itu.
Pemeriksaan fizikal awal mendapati taring bawah sebelah kiri harimau berkenaan telah tiada manakala taring yang masih ada didapati tumpul.
Turut ditemukan kesan luka lama pada bahagian kanan perut haiwan berkenaan.
Karkas harimau itu kemudian dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai untuk pemeriksaan bedah siasat bagi tindakan lanjut.
Dalam kejadian pada 18 November lalu, Ngah dipercayai diserang ketika mencari buluh di kawasan hutan kira-kira satu kilometer dari perkampungan Orang Asli Bawong dan 100 meter dari sempadan Hutan Simpan Kekal (HSK) Piah.
Perhilitan menerima aduan berhubung kejadian itu kira-kira jam 4.10 petang sebelum operasi pencarian bersama polis dan penduduk kampung dijalankan.
Mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 5.55 petang dengan kesan gigitan pada bahagian tengkuk serta kesan dimakan pada kaki kanan sehingga paras lutut.
Pemeriksaan di lokasi turut menemukan kesan tapak kaki harimau belang, kesan darah dan barangan milik mangsa.
Susulan kejadian itu, Perhilitan melaksanakan kawalan dan pemantauan di kawasan berkenaan termasuk menggunakan dron bagi mengesan kehadiran haiwan berkenaan.
Sementara itu, jabatan berkenaan turut mengadakan pertemuan dengan anak mangsa dan sedang menyelaraskan permohonan Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar bagi membantu meringankan beban keluarga.
Perhilitan turut mengadakan sesi penerangan serta memberikan khidmat nasihat kepada ketua kampung dan penduduk setempat berhubung langkah keselamatan bagi mengurangkan risiko pertembungan dengan hidupan liar.
Dalam pada itu, penduduk dinasihatkan supaya mengelakkan aktiviti bersendirian di kawasan hutan, khususnya pada awal pagi dan lewat petang, selain segera melaporkan sebarang tanda kehadiran harimau belang kepada pihak berkuasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan hidupan liar boleh menghubungi talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau menyalurkan aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang www.wildlife.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


