'Tak sanggup tengok Amir menderita' - Kembar rela jadi penderma buah pinggang

Muhammad Ammar Fawwaz (kanan) mendermakan sebelah buah pinggang buat kembarnya, Muhammad Amir Fawwaz menerusi prosedur pemindahan pada 13 November lalu.
Muhammad Ammar Fawwaz (kanan) mendermakan sebelah buah pinggang buat kembarnya, Muhammad Amir Fawwaz menerusi prosedur pemindahan pada 13 November lalu.
A
A
A

SHAH ALAM – Tidak sanggup melihat pasangan kembarnya terus menanggung derita akibat penyakit buah pinggang tahap akhir, seorang pemuda sanggup mendermakan sebelah buah pinggang kepada adiknya, Muhammad Amir Fawwaz Azizan, 22.

Abang kepada pasangan kembar tersebut, Muhammad Harith Zakwan, 26, berkata, adiknya, Muhammad Ammar Fawwaz, 22, menyuarakan hasrat itu sejurus selepas kembarnya disahkan menghidap penyakit berkenaan.

Menurut Muhammad Harith, keputusan Muhammad Ammar mengejutkan seluruh keluarga, namun mereka bersyukur apabila adiknya tampil secara sukarela untuk membantu saudara kembarnya.

"Ammar seorang yang ceria. Apabila mengetahui Amir menghidap penyakit itu, dia terus menyatakan kesediaan untuk menjadi penderma.

"Dari awal lagi dia kata tidak sanggup melihat Amir menderita dan mahu menempuh susah senang bersama kembarnya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Muhammad Harith yang bertugas dalam Pasukan Gerakan Am (PGA) berkata, pada peringkat awal, Muhammad Amir tidak mengetahui hasrat tersebut kerana menyangka dia perlu menjalani rawatan dialisis sepanjang hayat.

Katanya, Muhammad Amir mempunyai perasaan bercampur baur apabila dimaklumkan mengenai perkara itu, namun Muhammad Ammar meyakinkannya bahawa keputusan untuk menderma dibuat dengan penuh keikhlasan.

Mengulas lanjut, Muhammad Harith berkata, masalah kesihatan adiknya mula dikesan pada Mei 2025 ketika menjalani pemeriksaan kesihatan sebagai persediaan menyambung pengajian Diploma Kejuruteraan Elektrik di Institut Kemahiran MARA (IKM) Besut, Terengganu.

"Bacaan fungsi buah pinggang Amir ketika itu kurang memuaskan dan dia diberi tarikh untuk pemeriksaan susulan.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, keadaan kesihatannya semakin merosot sebelum sempat menghadiri pemeriksaan tersebut sehingga terpaksa dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Terengganu.

"Akibat penyakit itu juga, Amir terpaksa menghentikan pengajiannya," katanya.

Sementara itu, Muhammad Harith berkata, pembedahan pemindahan buah pinggang antara pasangan kembar berkenaan berjaya dilaksanakan pada 13 November lalu selepas hampir setahun menjalani pelbagai pemeriksaan bagi memastikan Muhammad Ammar layak menjadi penderma.

Menurutnya, prosedur tersebut berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi dan kedua-duanya dibenarkan pulang selepas hampir lima hari menerima rawatan di hospital.

"Selepas keluar hospital, mereka perlu menjalani pemeriksaan susulan bersama pakar setiap minggu sehingga keadaan kesihatan masing-masing stabil.

"Alhamdulillah, kini kedua-duanya semakin pulih," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!