Gabungan 15 NGO gesa PM segera buka Parlimen

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin segera membuka sidang khas Parlimen tanpa perlu menunggu sehingga September depan.

Dalam satu kenyataan bersama, gabungan NGO tersebut berkata, ia bertujuan agar kerajaan boleh meneruskan rancangannya sehingga akhir tempoh penggal tahun ini tanpa tekanan dan gangguan terhadap keabsahan beliau.

“Kami ingin menzahirkan rasa cemas dan ketidakpuasan hati kami dan rakyat terhadap perkembangan politik tempoh hari ketika mana negara dilanda kes jangkitan dan kematian tertinggi akibat wabak Covid-19.

“Sekiranya Perdana Menteri memiliki majoriti sokongan sebagaimana yang diumumkan pada Rabu, beliau mesti segera mengadakan mesyuarat khas di Parlimen secepat mungkin.

“Tetapi jika tiada majoriti, sudah tiba mandat baharu diberikan kepada kerajaan baharu untuk menyelesaikan musibah yang menimpa rakyat kini dengan sesegera yang mungkin,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Kenyataan bersama gabungan 15 NGO itu melibatkan antaranya Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) Gabungan Demi Melayu (DemiMelayu) dan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Dalam perkembangan sama, gabungan NGO berkenaan turut mengemukakan empat cadangan dalam mengatasi krisis politik ketika ini.

Menurut mereka, empat cadangan itu termasuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan sokongan Majlis Raja-Raja menasihat kerajaan mengisytiharkan Darurat Politik di bawah Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan selama enam hingga lapan bulan.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana polemik yang berlaku ketika ini tidak akan selesai jika ia terus ditentukan oleh Dewan Rakyat kerana umumnya tidak ada kumpulan yang mempunyai majoriti yang jelas.

"Perdana Menteri sekarang atau yang baharu akan terus dilanda polemik yang sama dan akan diganggu-gugat dalam tadbir urus negara,” kata NGO tersebut.

Tambah mereka, cadangan lain ialah menubuhkan Majlis Gerakan Rakyat (Mageran) atau Jawatankuasa Khas tanpa mana-mana keahlian ahli politik dan memberi fokus kepada pemulihan ekonomi serta kesihatan negara akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, Jawatankuasa berkenaan juga boleh menggunakan kuasa darurat untuk melakukan perubahan dan reset pada sistem ekonomi, kewangan dan politik selain sistem kesihatan dalam masa yang singkat.

“Parlimen juga boleh terus memainkan peranan dan wakil rakyat boleh terus berkhidmat serta melakukan persediaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di samping melakukan tugas semak dan imbang buat sementara waktu.

“Mageran atau Jawantankuasa ini juga akan terbubar selepas immuniti kelompok berjaya dicapai atau apa-apa indikator baharu yang membenarkan pilihanraya,” kata mereka.