97 pelajar, staf rumah anak yatim dijangkiti Covid-19

Disinfeksi secara rutin dilakukan seperti dikongsikan di Facebook Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Sungai Buloh pada Jun lalu.
Disinfeksi secara rutin dilakukan seperti dikongsikan di Facebook Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Sungai Buloh pada Jun lalu.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Seramai 97 orang pelajar serta kakitangan Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, di sini sedang menjalani kuarantin kendiri selepas dijangkiti Covid-19.

Pengurus rumah yatim dan asnaf itu, Jamaluddin Wahab berkata, jangkitan disedari apabila seorang pelajar mengalami demam sebelum dibawa ke klinik untuk jalani ujian swab pada 29 Julai lalu dan disahkan positif.

Menurutnya, atas dasar tanggungjawab, pihaknya telah menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah Sungai Buloh memohon saringan dilakukan di asrama berkenaan pada 31 Julai lalu.

"Saringan ke atas 110 pelajar dan 15 kakitangan mendapati 97 daripada mereka positif dan diarahkan menjalani kuarantin kendiri di asrama sehingga 15 Ogos ini.

"Alhamdulillah, tiada yang kritikal, semua yang dikesan positif Covid-19 tiada gejala, cuma hanya beberapa orang yang menghidap selesema, namun setakat ini tiada yang memerlukan bantuan pernafasan atau dirawat di hospital," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tular di media sosial sebelum ini hebahan kutipan sumbangan ke atas Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras hasil inisiatif orang awam bagi membantu pengurusan menampung kos kuarantin.

Jamaluddin berkata, pihaknya terharu dengan keprihatinan orang ramai yang tampil membantu.

"Nampak masyarakat kita ini peka dan prihatin, apabila dengar perkhabaran musibah ke atas kami terus gerakkan bantuan tanpa kita meminta.

Artikel Berkaitan:

Alhamdulillah, setakat ini sumbangan yang diterima mencukupi sehingga tamat kuarantin nanti. Terima kasih kepada semua," katanya.

Katanya, situasi dijangkiti Covid-19 dalam skala besar adalah sesuatu yang tidak dijangka namun cuba diselesaikan dalam keadaan terkawal dan tidak panik.

"Ada yang pandang negatif dan ada juga memberikan sokongan.

Kita lihat dari sudut positif dan terimanya sebagai qada dan qadar.

"Kita ingat dah ikut segala garis panduan namun kena juga jangkitan ini, mungkin terdapat kelompongan yang perlu diperbaiki, yang penting sekarang perlu pantau keselamatan anak-anak, doakan kesejahteraan kami, " katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!