X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 05 Disember 2021

80 peratus kes BID tidak didiagnos mempunyai Covid-19: KKM

Datuk Dr Chong Chee Kheong ketika sidang media khas Kementerian Kesihatan berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) pada Jumaat mendedahkan bahawa 80 peratus daripada kes kematian sebelum tiba di hospital (BID) akibat Covid-19, didapati mangsa tidak pernah didiagnos dengan penyakit tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata, mereka ini sama ada tidak mempunyai akses untuk melakukan diagnos atau tidak pernah tampil untuk membuat ujian.

“Kami dapati sebahagian besar mereka adalah bukan warga Malaysia,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan Covid-19 di sini pada Jumaat.

Chee Kheong berkata, daripada 1,000 kematian dilaporkan setiap minggu, 80 hingga 100 adalah kes BID.

Beliau berkata, BID meningkat secara konsisten beberapa minggu lalu dan bagi menangani situasi ini Pusat Penilaian Covid-19 secara Maya (VCAC) telah diaktifkan seminggu lalu untuk memastikan tindak balas pengurusan yang efektif.

Beliau berkata, VCAC membolehkan orang ramai yang diuji positif tetapi tidak bergejala atau mempunyai gejala ringan menjalani pengasingan di rumah dan dipantau melalui kit penilaian di rumah (HAT) dan bukannya datang ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) fizikal.

"Sebanyak 60 peratus (daripada mereka yang dijangkiti) biasanya tidak bergejala dan kira-kira 30 peratus mempunyai gejala ringan. Hanya lima hingga 10 peratus perlu dinilai secara fizikal, mereka ini yang perlu datang ke CAC fizikal,” katanya.

Beliau berkata, VCAC adalah kaedah bagi memastikan kes tidak bergejala tidak memenuhi hospital dan CAC fizikal.

Sementara itu, Chee Kheong yang juga Komander Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley berkata, pemain industri bersetuju mematuhi peraturan bagi mencegah wabak di tempat kerja.

Beliau berkata, walaupun kunci bagi mencegah wabak adalah vaksinasi, majikan perlu membawa pekerja yang bergejala menjalani ujian dan memberi akses ke klinik panel.

“Sekiranya berlaku kes positif, majikan mesti mengasingkan mereka yang kontak rapat dan menjaga kebajikan mereka dengan menyediakan makanan dan memberi bantuan sepanjang tempoh pengasingan,” katanya.

Chee Kheong juga menggesa majikan mendaftar dengan [email protected] inisiatif oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat.

Hadir sama pada sidang akhbar tersebut Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha'ari Ngadiman. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!