Anwar dedah bukti Pas bayar wang kepada Rewcastle-Brown

A
A
A

SEMENYIH - [DIKEMASKINI] Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai bukti penyata bank menunjukkan Pas membayar RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Menurutnya, wang tersebut dibayar kepada Rewcastle-Brown berhubung penyelesaian luar mahkamah kes saman melibatkan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkongsi maklumat tersebut di hadapan pengundi Semenyih dan penyokong PH ketika berceramah di Taman Semenyih Sentral, di sini, malam tadi.

“Sebelum ini kata parti tidak akan gunakan wang ahli Pas untuk bayar kepada Clare (Rewcastle-Brown) tapi byar juga.

“Kalau boleh bermula malam ini, Pas diam sajalah, sudahlah. Kata tak ambil duit UMNO, tak bayar kepada Clare, tak betul semua itu.

“Kalau tak percaya saya boleh tunjuk kenyataan bank. Bank mana? Nanti dulu,” katanya dalam ceramah tersebut yang disambut sorakan penonton.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas ambil tindakan jika terus fitnah terima dana RM90 juta

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM: Tiada duit RM90 juta masuk akaun Pas

Artikel Berkaitan:

Tegas Ahli Parlimen Port Dickson itu, beliau tidak kisah sekiranya Pas ingin mencabar kenyataan terbarunya itu.

“Nama saya Anwar Ibrahim, kalau saya tiada fakta saya tak lawanlah. Ini saya ada fakta, memang ada bukti Pas terpaksa bayar RM1.4 juta kepada Rewcastle-Brown.

“Kalau Pas nak cabar, boleh cabar ke mahkamah, bila-bila masa pun boleh. Saya ada bukti,” ujarnya.

Kelmarin, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata penyelesaian luar mahkamah kes saman Abdul Hadi terhadap Rewcastle-Brown tidak melibatkan sebarang perintah mengenai kos kepada mana-mana pihak.

Katanya, berdasarkan perintah persetujuan yang direkodkan telah menyatakan tiga perkara iaitu pihak yang menuntut tidak meneruskan tuntutannya, pihak defendan tidak meneruskan tuntutan balasnya dan tiada perintah mengenai kos-kos.

Kenyataan itu dikeluarkan Pas susulan desakan Anwar agar parti itu memberi penjelasan sama ada penyelesaian kes mahkamah itu melibatkan bayaran lebih RM1 juta.