SPRM: Tiada duit RM90 juta masuk akaun Pas

Mohd Shukri (tengah) sewaktu hadir pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah ADUN Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Mohd Shukri (tengah) sewaktu hadir pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah ADUN Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada kemasukan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM90 juta ke dalam akaun Pas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, hasil siasatan yang dijalankan agensi itu tidak menjumpai apa-apa transaksi yang membuktikan dakwaan tersebut, setakat ini.

"Siasatan SPRM setakat ini memang tiada kemasukan RM90 juta duit 1MDB ke dalam akaun Pas," katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah ADUN Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Ditanya sama ada siasatan berhubung dakwaan terhadap Pas itu akan ditutup atau sebaliknya, beliau enggan mengulas lanjut, sebaliknya menyerahkan tindakan seterusnya kepada Bahagian Siasatan SPRM.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan telah menerima laporan tentang dakwaan wang sebanyak RM90 juta yang disyaki daripada 1MDB, dikatakan dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin Pas.

Susulan itu, agensi berkenaan memulakan siasatan dan telah memanggil beberapa pemimpin, antaranya Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan: