Dana judi: Sanusi mohon Anwar kemukakan bukti

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Muhammad Sanusi (kanan).
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Muhammad Sanusi (kanan).
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti atas dakwaan yang mengaitkan Perikatan Nasional (PN) dengan dana judi ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, setiap dakwaan seharusnya disertakan dengan bukti sebagai asas pertuduhan dan bukan sekadar membuat persepsi politik.

“Asas kepada semua dakwaan itu ialah bukti. Sila buktikan, sebab beliau (Anwar) buat tuduhan. Takkan lah orang yang dituduh pula kena (tunjuk) bukti, beban bukti terletak pada si penuduh.

“Sila kemuka bukti, selesai cerita. Tak payah cakap (ulang) banyak kali,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri Kedah (JKTN) pada Ahad.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah turut meminta Anwar memperjelaskan secara terperinci ‘asas’ yang dimaksudkan beliau atas pertuduhan terbabit.

“Kena tanya Perdana Menteri, apa asas yang kukuh itu (seperti yang beliau sebutkan). Anwar pun bukan boleh siasat sendiri, ada agensi yang siasat. Anwar bukan boleh buka fail tetapi agensi terlibat, selepas siasatan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh agensi berkaitan,” ujarnya.

Pada Sabtu, Anwar menegaskan tidak akan mengeluarkan kenyataan berkaitan dana judi sekiranya beliau tidak mempunyai asas kukuh, selain meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin membaca dengan lengkap kenyataannya sebelum mengambil tindakan undang-undang.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menambah, siasatan terhadap dakwaan dana tersebut masih lagi berjalan melibatkan pelbagai agensi.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menyifatkan asas yang dimaksudkan Anwar sebagai persepsi semata-mata tanpa bukti.

“Saya rasa daripada awal sebenarnya isu politik sahaja. Menimbulkan persepsi, persepsi ni ada yang betul, ada tak betul namun kebanyakannya tak betul,” ujarnya.

Menurutnya lagi, di Kedah isu berkenaan tidak langsung berbangkit kerana sejak awal lagi Kedah mengharamkan operasi perjudian di negeri ini.

“Pas ni kutip duit (derma) daripada ahli parti. Kita mengharamkan judi di negeri ini. Tak kan pula tauke judi nak bagi derma pada kita (PN) sebab mereka tak boleh buat aktiviti judi di Kedah. Pergi tanya negeri-negeri yang menghalalkan judi,” jelasnya lagi.

Pada Sabtu, Muhyiddin memaklumkan akan berbincang dengan peguamnya untuk mengambil langkah seterusnya terhadap kenyataan yang dibuat oleh Anwar dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi PN itu juga meminta agar Perdana Menteri membuat permohonan maaf, sebelum beliau mempertimbangkan untuk sebarang tindakan lanjut.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan bertulis pada Khamis, memaklumkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur penerimaan rasuah termasuk sumber dana oleh parti kerajaan ketika itu seperti didakwa.

Azalina berkata, SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan, bagaimanapun, agensi itu mendapati maklumat tersebut terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu terbabit.

Begitupun, pada Jumaat, Azalina menegaskan siasatan dakwaan dana judi melibatkan PN, tidak dihentikan atau digugurkan.