UMNO cabar panggil segera sidang khas Parlimen

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO mencabar kerajaan memanggil sidang khas Parlimen dengan kadar segera bagi membuktikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mempunyai majoriti tanpa menunggu sehingga persidangan Parlimen pada September.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah hilang majoriti dengan penarikan balik sokongan beberapa ahli Parlimen dari UMNO.

Ia sekali gus menyangkal kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa mempunyai cukup majoriti dalam perutusan khas disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan tengah hari tadi.

Jelas Zahid, sebelum ini PN hanya mempunyai 114 ahli Parlimen yang menyokong.

"Saya telah mempersembahkan warkah yang melampirkan lapan surat akuan ahli-ahli Parlimen UMNO kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai 2021 bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

"Ini cukup untuk menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti, biarpun sebenarnya jumlah berkenaan melebihi daripada itu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Ahmad Zahid, Majlis Kerja Tertinggi telah membuat ketetapan mutakhir pada Selasa bagi menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri, atas asas mahu berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan jumlah surat akuan ahli-ahli Parlimen UMNO juga telah bertambah.

Beliau juga telah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong pada Rabu bagi mempersembahkan surat akuan tambahan sebagai lanjutan warkah terdahulu.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, media melaporkan 11 ahli Parlimen telah menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin.

Antara nama yang dikaitkan ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk); Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang);

Datuk Seri Azalina Said Othman (Pengerang); Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang); Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong); Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang); Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian); Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling); Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut) dan Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands).