Rayuan kes bin Abdullah ditetapkan untuk pengurusan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Rayuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dua pihak lain berhubung isu ‘bin Abdullah’ ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya pada 21 Mac kerana kerajaan sedang berusaha menyelesaikan kes berkenaan melalui pendekatan lain selain prosiding mahkamah.

Peguam Nizam Bashir yang mewakili pasangan suami isteri Islam terbabit, yang memohon untuk menukar perkataan ‘Abdullah’ sebagai bin untuk nama anak lelaki mereka kepada nama bapanya dalam sijil kelahiran, berkata kerajaan sedang cuba menyelesaikan perkara berkenaan kerana keputusan dalam rayuan itu akan membawa implikasi jauh lebih besar terhadap kes serupa di negeri lain.

Pengurusan kes rayuan JPN dan dua pihak lain itu didengar di hadapan Timbalan Pendaftar Norhafizah Zainal Abidin di dalam kamar hari ini.

Nizam berkata, terdapat juga arahan untuk perkara itu didengar semula oleh panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang baharu tetapi Majlis Agama Islam Johor tidak bersetuju.

Nizam memberitahu pemberita pendengaran rayuan itu adalah wajar dan bantahan majlis agama Islam berkenaan ditetapkan pada 27 Mei.Turut hadir dalam prosiding pengurusan kes itu adalah Peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayob mewakili JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan; peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Majlis Agama Islam Johor dan peguam Halimatunsa'diah Abu Ahmad bagi pihak Majlis Agama Islam Selangor.

Pada 22 November tahun lepas, tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop menangguhkan keputusan kes berhubung isu ‘bin Abdullah’ itu selepas Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh memohon penangguhan keputusan mahkamah.

Amarjeet memaklumkan kepada mahkamah bahawa kerajaan berpendapat perkara tersebut telah memberi implikasi jauh lebih besar yang memerlukan penyelesaian dengan cara lain, selain melalui prosiding mahkamah.

JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada Mei 2017, yang memutuskan bahawa anak pasangan Islam yang dilahirkan luar nikah (anak tak sah taraf) boleh menggunakan ‘bin atau binti’ bapanya, dan bukannya “Abdullah”. - Bernama

Artikel Berkaitan: