X

Kindly register in order to view this article
!

1,500 kilang di Selangor laksana POIS kawal penularan Covid-19

Info grafik yang dikongsi Amirudin di Facebook beliau pada Selasa.
A
A

SHAH ALAM - Kira-kira 1,500 kilang di Selangor sudah melaksanakan Sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi mengawal penularan Covid-19 dalam sektor industri di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif yang dilaksanakan pada 29 Januari lalu itu berjaya mengawal pandemik dengan lebih berkesan dan mengurangkan kluster di tempat kerja yang boleh mencecah sehingga 50 peratus.

Menurut beliau, POIS merupakan sistem saringan yang tersusun untuk kilang dan tempat kerja berikutan sektor itu berpotensi mewujudkan kluster Covid-19.

"Syarikat berperanan aktif melaksanakan inisiatif saringan ini dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Selgate Corporation Sdn Bhd, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Federation of Malaysian Manufacturers (FMM)," katanya yang memuat naik status dan info grafik di Facebook beliau pada Selasa.

Inisiatif oleh Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) itu dapat membendung kes positif bagi membolehkan kilang atau pejabat terus beroperasi.

Menerusi sistem, itu, majikan yang mendaftar hanya perlu menubuhkan jawatankuasa untuk mengenal pasti lokasi dan aktiviti berisiko tinggi.

Dalam perkembangan sama Amirudin berkata, selain inisiatif POIS, kerajaan negeri turut melaksanakan Program Vaksin Selangor (SelVax) industri yang merupakan program penawaran vaksin Covid-19 kepada syarikat berminat bagi memastikan imuniti kelompok dalam kalangan pekerja.

"Majikan akan membeli dos vaksin untuk diberikan kepada pekerja mereka dengan syarat tidak mengenakan sebarang kos," katanya.

Beliau memberitahu, kedua-dua program utama itu adalah khusus untuk memanfaatkan industri ekonomi di Selangor.

"Ini sebahagian daripada usaha di bawah bidang kuasa kerajaan negeri bagi meminimumkan penularan Covid-19 di tempat kerja," katanya.

Sebanyak dua juta dos vaksin dikhususkan untuk SelVax industri.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!