X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada halangan sukarelawan, NGO bantu urus jenazah Covid-19

Pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor disemak semula bagi membantu mengatasi kekangan dan meringankan tekanan petugas barisan hadapan di hospital. Gambar kecil: Mohd Shahzihan
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberi penjelasan berhubung beberapa dakwaan dibangkitkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan ketetapan baharu pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, beberapa pihak 'menyerang' JAIS di media sosial sebelum ini boleh menimbulkan perspektif buruk terhadap dasar baharu itu yang telah dikuatkuasakan sejak 28 Julai lalu.

Beliau berkata, pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor telah disemak semula bagi membantu mengatasi kekangan dan meringankan tekanan petugas barisan hadapan di hospital.

"Ketetapan dibuat bersama pihak hospital dan agensi lain malah JAIS turut meneliti beberapa perkara antaranya fakta semasa, kekuatan pasukan jenazah Covid-19 sedia ada, keutamaan mengurus jenazah dan beberapa lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Sabtu, sebuah NGO dikenali sebagai Unit Kenderaan Van Jenazah (UKVJ) yang menggunakan akaun nama Facebook, Mr Wan Cai Official mendakwa JAIS tidak lagi membenarkan mana-mana NGO menguruskan jenazah Covid-19 di semua hospital di Selangor.

Menerusi aplikasi WhatsApp sebelum ini juga tular kenyataan yang memaklumkan bermula pada Jumaat tanah perkuburan Islam di setiap kariah tidak lagi dibenarkan mengurus pengebumian jenazah Covid-19.

Berdasarkan edaran senarai tanah perkuburan pengebumian jenazah Covid-19 di negeri Selangor yang dikeluarkan JAIS, terdapat 37 tapak dikhaskan untuk urusan pengebumian membabitkan 13 hospital di negeri ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan berkenaan, Mohd Shahzihan berkata, JAIS mempelawa penglibatan sukarelawan dan NGO yang mahu bekerjasama menguruskan jenazah Covid-19 di Selangor.

"Mereka hendaklah tertakluk untuk patuh kepada ketetapan yang dibuat oleh JAIS," katanya.

Di samping itu, Mohd Shahzihan berkata, JAIS juga menetapkan tiada sebarang bayaran dikenakan kepada keluarga waris atas setiap pengurusan jenazah Covid-19 yang diuruskan oleh pihaknya.

Katanya, bayaran hanya dikenakan oleh pihak pengurusan tanah perkuburan (termasuk kos keranda jika perlu) yang akan dibayar terus oleh keluarga atau waris terlibat.

"JAIS juga menetapkan tanah perkuburan yang sesuai bagi urusan jenazah Covid-19 untuk kemudahan semua pihak," katanya.

Tambah Mohd Shahzihan, susulan beberapa tohmahan yang dilemparkan terhadap JAIS, pihaknya mengesyorkan mana-mana pihak yang mempunyai bukti untuk tampil membuat aduan secara terus kepada jabatan itu atau agensi berwajib bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!