Dua ditahan disyaki buru burung serindit

Perhilitan merampas disyaki burung serindik daripada dua individu di Rumah Pekerja Ladang Alur Seri, Maran. -Foto Ihsan Perhilitan
Perhilitan merampas disyaki burung serindik daripada dua individu di Rumah Pekerja Ladang Alur Seri, Maran. -Foto Ihsan Perhilitan
A
A
A

KUANTAN - Dua lelaki ditahan bersama senapang buatan sendiri dipercayai digunakan untuk aktiviti memburu burung serindit di Sungai Berakit dalam Hutan Simpan Berkelah, pada Ahad.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Rozidan Md Yasin berkata, dua lelaki yang ditahan itu berusia 43 dan 53 tahun dan beralamat di Felda Kampung Awah dan Felda Seroja, Jengka 18.

Menurutnya, pihaknya turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda, 10 peluru pistol, 12 peluru penabur pelbagai jenis, empat ekor disyaki burung serindit, tali pinggang peluru dan telefon bimbit.

"Pasukan penguatkuasaan Perhilitan telah menyoal siasat kedua-dua lelaki terbabit seterusnya membawa ke sebuah rumah C10, Rumah Pekerja Ladang Alur Seri, Maran.

"Hasil pemeriksaan di rumah pekerja berkenaan menemui sebungkus disyaki daging pelanduk, enam ekor disyaki burung serindit dan sebahagian anggota disyaki landak," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau memaklumkan, pihaknya juga menemui lapan utas disyaki jerat dawai dan seekor haiwan dipercayai beruk.

Jelasnya, kesemua barangan terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran bagi tujuan siasatan.

Kedua-dua lelaki berkenaan boleh didakwa di bawah Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 iaitu menyimpan hidupan liar diperlindungi yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka juga boleh didakwa di bawah Seksyen 29(1)(a) akta sama kerana menyimpan apa-apa jerat yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Bagi kesalahan memiliki senapang buatan sendiri dan peluru individu terbabit boleh didakwa mengikut akta senjata api," ujarnya.

Rozidan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kedua-dua lelaki yang ditahan itu sudah biasa dengan kawasan hutan terbabit kerana memiliki kemahiran melakukan aktiviti memburu.

Menurutnya, beberapa kawasan hutan simpan di negeri ini termasuk Hutan Simpan Berkelah dikenal pasti menjadi lokasi kegiatan memburu tanpa kebenaran dan kegiatan itu didalangi beberapa individu tempatan.

"Saya sudah mengarahkan kepada anggota Unit Penguat Kuasa Perhilitan Pahang termasuk kakitangan Perhilitan daerah supaya terus melakukan pemantauan secara berkala di beberapa kawasan hutan simpan di negeri ini.

"Masyarakat setempat juga diharap dapat memberi kerjasama dengan menghubungi pejabat Perhilitan sekiranya mengetahui terdapat kegiatan memburu tanpa lesen berlaku di tempat mereka," katanya.