X

Kindly register in order to view this article
!

15 NGO gesa kerajaan usul tiga saranan kepada Agong

Tangkap layar berita Agong menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat berkenaan di Parlimen, sedangkan perkara itu belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.
A
A

SHAH ALAM – Sebanyak 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan mengusulkan tiga saranan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai jalan penyelesaian kepada kemelut politik dan membendung pandemik Covid-19 di negara ini.

Gabungan NGO Melayu Islam dalam kenyataan berkata, tiga cadangan tersebut adalah menyambung tempoh darurat, mewujudkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebaik sahaja tempoh Mageran tamat.

“Hakikatnya, Seri Paduka Baginda sebenarnya masih mempunyai kuasa di bawah Darurat untuk bertindak sebelum jam 11.59 malam ini.

“Justeru, dalam julat masa yang begitu sempit dan genting ini, kita menuntut agar semua wakil rakyat untuk menghentikan percaturan politik.

“Sebaliknya membetulkan iktikad untuk membantu rakyat dan dapat menerima kenyataan bahawa Mageran serta ihsan Seri Paduka Baginda adalah penyelesaian terbaik buat rakyat dan negara kita yang tercinta ini,” katanya dalam kenyataan bersama itu pada Ahad.

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan kerajaan bersetuju untuk tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Proklamasi Darurat baharu apabila ia tamat pada 1 Ogos ini.

Bagaimanapun, pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat berkenaan di Parlimen, sedangkan perkara itu belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

Dalam pada itu, menurutnya, kemelut politik akan berpanjangan jika tindakan segera tidak dilaksanakan.

“Akibatnya kedudukan ekonomi negara akan semakin merudum, rakyat akan terus kelaparan apabila semakin ramai yang hilang pendapatan dan kematian akan meningkat.

“Akibatnya juga, agenda mengarahkan hala tuju pembangunan negara kepada suatu yang lebih menjaga kepentingan rakyat daripada kepentingan modal, mencapai keseimbangan ekonomi dan kemakmuran bersama terabai,” menurutnya.

Gabungan NGO terbabit terdiri daripada Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (Pembela), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Amal Sejagat Malaysia dan Himpunan Anak Kedah Malaysia (HAKeM)

Selain itu, ia termasuk Gabungan Demi Melayu, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM), Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Pertubuhan Pembangunan & Inovasi Wanita (Wadi Malaysia), PAKAR Malaysia, Pertubuhan Sinar Rahmah dan MyVoice Malaysia, Gabungan NGO Islam (GNI) dan Pertubuhan Islam Nusantara Malaysia.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!