X

Kindly register in order to view this article
!

Cikgu Melankolik Malaya guna YouTube ajar teknik melukis

Kamarulzaman bersedia dengan peralatan melukisnya untuk bersiaran di saluran YouTube, bagi berkongsi ilmu Pendidikan Seni Visual (PSV) dan berinteraksi secara langsung dengan para pelajar. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Setiap hari Sabtu jam 9 malam, Cikgu Melankolik Malaya sudah bersedia dengan peralatan melukisnya untuk bersiaran di saluran YouTube, bagi berkongsi ilmu Pendidikan Seni Visual (PSV) dan berinteraksi secara langsung dengan para pelajar.

Cikgu Melankolik Malaya atau nama sebenar Kamarulzaman Muhd Yunus, mengibaratkan platform YouTube itu sebagai kelas tambahan maya bagi para pelajarnya mempelajari teknik melukis, untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Tenaga pengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Maluri, Kuala Lumpur itu, Kamarulzaman yang mempunyai pengalaman sebagai pemeriksa Kertas 2 PSV untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), akan memberikan teknik-teknik yang perlu diguna pakai oleh pelajar.

"Bila saya buat 'strim langsung', pelajar-pelajar teruja untuk masuk dan kalau saya sebut nama mereka semasa sesi siaran langsung, lagi mereka gembira,” katanya kepada Bernama baru-baru ini, yang mula bersiaran di YouTube Cikgu Melankolik Malaya, sejak November tahun lepas.

Menurut guru yang berusia 31 tahun itu, sesi pembelajaran di saluran Youtube Cikgu Melankolik Malaya berkenaan, tidak terhad dilayari pelajar sekolahnya bahkan juga pelajar lain.

Menurutnya, mereka yang menyertai sesi siaran langsung di saluran YouTube itu, hanya perlu menyediakan barangan asas seperti kertas, pensil, pensil warna dan pemadam, untuk belajar melukis serta mewarna.

"Sesi pembelajaran dalam YouTube adalah tidak formal seperti dalam kelas. Konsep yang saya gunakan adalah lebih santai bagi membolehkan pelajar senang faham,” katanya, serta menambah platform YouTube mudah diakses sama ada menggunakan telefon pintar atau komputer riba.

Kamarulzaman yang berasal dari Kelantan itu, mengeluarkan duit poketnya sendiri bagi membeli peralatan seperti komputer untuk menjayakan sesi pembelajaran tersebut.

"Saya berhabis sekitar RM3,000 bagi membeli set komputer, beli satu persatu kerana harganya bukan murah. Dan hampir tiga bulan masa diperlukan untuk dapatkan set komputer lengkap ini,” katanya.

Berkongsi mengenai pemilihan nama Cikgu Melankolik Malaya sebagai nama saluran YouTube beliau, Kamarulzaman berkata ia kerana beliau meminati bidang sastera.

"Nama Melankolik ini saya guna masa belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris lagi, dan ramai mengenali saya dengan nama itu,” katanya.

Semakan mendapati, akaun YouTube Cikgu Melankolik Malaya mempunyai 503 pengikut dan menjadi tumpuan pelajar-pelajar PSV dan orang ramai yang ingin belajar melukis.

"Saya harap lebih ramai tahu ‘channel’ Cikgu Melankolik Malaya. Saya hanya mahu meneruskan legasi dan niat murni dalam bidang PSV di Malaysia. Teruskan menyokong saya dan guru-guru PSV di Malaysia. Seni Itu Indah, Seni Untuk Semua!,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!