Hampir 18,000kg sampah dikutip setiap hari di Flat TUTA

Mohd Jafni - Foto Bernama
Mohd Jafni - Foto Bernama
A
A
A

KULAI - Hampir 18,000 kilogram (kg) dikutip setiap hari sejak kerja-kerja pembersihan di Flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) di Skudai, Johor Bahru, dimulakan lebih seminggu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, setakat ini, kerja-kerja pembersihan yang dilaksanakan oleh SWM Enviroment dan SWCorp di flat itu telah melebihi 90 peratus.

"Sampah yang dikutip dari Flat TUTA sahaja melibatkan 10,200 kg sampah domestik dan 7,550 kg sampah pukal secara purata sehari.

"Selain itu, jumlah kutipan sisa pukal yang dikutip turut mencecah 90 tan hanya untuk dua hari (pada 16 dan 17 Mei),” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd Jafni berkata demikian ketika ditanya mengenai status pembersihan di flat berkenaan yang mempunyai 44 blok dengan 4,085 unit rumah.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Permai itu berkata, kerajaan negeri turut menumpukan pada kempen pembersihan berterusan di kawasan flat berkenaan selama lima minggu bagi memastikan masalah sampah pukal dapat diatasi sepenuhnya.

Buat masa ini, beliau berkata, kerajaan negeri telahpun membuat permohonan kepada kerajaan persekutuan berhubung peruntukan RM26 juta bagi proses rejuvenation atau penambahbaikan flat berkenaan.

Flat TUTA yang berusia lebih 40 tahun itu, merupakan antara kira-kira 100 projek flat awam yang terletak dalam kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB); Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP); Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) serta Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

Daripada jumlah itu, Mohd Jafni dilaporkan sebagai berkata, lebih 50 peratus daripadanya berada dalam kategori bermasalah.

Isu flat awam tidak bersih dan buruk mula menjadi perhatian ramai susulan teguran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang menzahirkan kekecewaan baginda berhubung tahap kebersihan dan penyelenggaraan flat kos rendah di negeri ini pada 15 Mei lepas. - Bernama