Tanaman sawit haram dalam hutan simpan dimusnahkan

Operasi memusnah pokok sawit yang ditanam secara haram di HSK Kuala Langat Selatan di sini pada Selasa.
Operasi memusnah pokok sawit yang ditanam secara haram di HSK Kuala Langat Selatan di sini pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor melaksanakan tindakan penguatkuasaan dengan memusnahkan pokok kelapa sawit yang ditanam secara haram di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Kuala Langat Selatan selama empat hari bermula Isnin lalu.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian berkata, operasi bersepadu Ops Langat itu dilakukan Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) Selangor dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat serta Bahagian Penguatkuasaan Hutan, Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, operasi itu membabitkan kawasan seluas 12 hektar di petak 17 dan sebahagian petak 19 HSK Kuala Langat Selatan.

"Operasi bersepadu itu tertumpu kepada pemusnahan pokok kelapa sawit yang berusia dua tahun dengan menggunakan tiga jengkaut.

"Tindakan menanam pokok kelapa sawit di kawasan terbabit menyalahi peruntukan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985," katanya yang memuat naik kenyataan itu di Facebook beliau pada Selasa.

Loy Sian berkata, tindakan penguatkuasaan itu juga diambil selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 14 Julai lalu.

"JPN Selangor diarahkan melaksanakan operasi penguatkuasaan hutan secara bersepadu di kawasan berkenaan," katanya.

Jelas beliau, sebelum ini, operasi turut dijalankan dengan memusnahkan 350 anak pokok kelapa sawit yang ditanam secara haram di kawasan sama seluas kira-kira dua hektar pada 14 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tindakan itu dilakukan berikutan terdapat kes pembakaran secara terbuka di kawasan hutan berkenaan.

Beliau memberitahu, pembakaran terbuka mengakibatkan kerajaan negeri Selangor terpaksa menanggung kerugian berpuluh-puluh ribu ringgit.

"Kegiatan ini dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan pembakaran secara terbuka di kawasan hutan berkenaan.

"Akibat aktiviti pembakaran itu, kami dengan kerjasama Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa melakukan operasi pemadaman kebakaran seluas kira-kira 2.8 hektar di hutan simpan itu pada 27 Jun lalu," katanya.