X

Kindly register in order to view this article
!

Bekalkan oximeter untuk pesakit Covid-19 kuarantin di rumah

Dr Noor Nirwandy
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dicadangkan untuk membekalkan 'pulse oximeter' iaitu alat membaca kadar oksigen dalam darah kepada pesakit Covid-19 yang dikuarantin di rumah bagi membolehkan pemantauan kandungan oksigen dalam badan secara kerap.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pembekalan alat itu membolehkan pesakit mengesan sama ada mereka mengalami penurunan kadar oksigen yang ketara dan memerlukan rawatan lanjut atau bantuan pernafasan oksigen.

Menurutnya, pengagihan tabung oksigen bergerak juga perlu dilakukan kepada pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan oksigen segera.

“Kerjasama hospital swasta dapat mengembalikan tahap oksigen pesakit Covid-19 ke paras normal dan mengelakkan keadaan mereka yang menjalani kuarantin kendiri di rumah menjadi lebih bahaya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, unit sokongan yang menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap terdiri daripada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan agensi keselamatan lain boleh diselaraskan secara zon serta sektoral bagi membantu pengagihan oximeter dan tangki oksigen.

“Pasukan simpanan seperti askar wataniah, sukarelawan polis, bomba dan tenaga sokongan daripada pelajar perubatan kolej swasta dan awam boleh diserap dalam unit ini.

“Mereka akan lakukan pemantauan berkala keadaan pesakit Covid-19 yang dikuarantin secara kendiri di kawasan zon dan sektor masing-masing,” ujarnya,

Dr Noor Nirwandy menambah, ahli keluarga terdekat pula perlu dibekalkan dengan kit pengujian kendiri dan prosedur operasi standard (SOP) penggunaan oximeter serta tabung oksigen.

Katanya, mereka boleh melaporkan secara digital ke aplikasi berkaitan sekiranya dijangkiti dan memberi maklum balas secara berkala serta berpusat kepada KKM berhubung keadaan dan kadar jangkitan pesakit Covid-19 di rumah.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!