Bot nelayan langgar syarat ditahan

Bot nelayan yang ditahan selepas didapati langgar syarat lesen.
Bot nelayan yang ditahan selepas didapati langgar syarat lesen.
A
A
A

GEORGETOWN- Sebuah bot nelayan tempatan kelas C ditahan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas didapati melanggar syarat lesen.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot berkenaan ditahan pada jarak lebih kurang 12.5 batu nautika dari barat Mukah Head oleh kapal peronda milik Maritim Malaysia pada jam 2.41 petang kelmarin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pada bot berkenaan menahan seorang tekong lelaki warga Thailand berumur 30 tahun bersama tiga orang awak-awak warga Thailand semuanya lelaki berumur 30 di antara 51 tahun.

"Turut ditemui di dalam bot berkenaan dua pukat tunda gulung, hasil tangkapan ikan bercampur anggaran 60 kilogram dan ikan baja anggaran 1,500kg. Kesemua mereka dan hasil rampasan dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung, Pulau Pinang untuk siasatan serta tindakan lanjut.

"Mereka ditahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai terdekat," katanya ketika dihubungi di sini.

Hamizan berkata, pihaknya memandang serius terhadap kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 terutamanya kesalahan yang melibatkan aktiviti menangkap ikan di luar dari zon yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Beliau turut mengingatkan agar Komuniti Maritim Pulau Pinang bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dalam menyalurkan maklumat berkaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang terutama pencerobohan kawasan zon menangkap ikan oleh bot pukat tunda yang sering menjadi rungutan nelayan pantai.

Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146.

Artikel Berkaitan: