Tinggal lori muatan 800 pokok ros seludup tepi jalan

Pokok ros disusun di dalam lori tersebut oleh kumpulan lelaki berkenaan.
Pokok ros disusun di dalam lori tersebut oleh kumpulan lelaki berkenaan.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Sebanyak 800 batang pokok bunga ros yang bernilai RM40,000 tidak sempat dipasarkan apabila kegiatan penyeludupan tumbuhan tersebut berjaya dipatahkan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu dalam satu serbuan di sini pada Isnin.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, hasil intipan yang dilakukan pada jam 11.30 malam itu berjaya mengesan sebuah lori yang berada berhampiran pangkalan haram Syed Omar di sini.

"Semasa intipan dilakukan di tebing pangkalan haram tersebut, kami nampak sekumpulan lelaki memunggah beg-beg plastik berwarna putih yang mengandungi pokok ke dalam lori berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

"Menyedari kehadiran pihak berkuasa, kumpulan lelaki berkenaan bertindak melarikan diri menggunakan perahu ke seberang Thailand manakala pemandu lori berkenaan memecut laju meninggalkan pangkalan tersebut menuju ke jalan utama," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Lori ditinggalkan dalam keadaan enjin tidak dimatikan.
Lori ditinggalkan dalam keadaan enjin tidak dimatikan.

Menurutnya, hasil tindakan pantas anggota bertugas berjaya mengesan pergerakan lori berkenaan dan menemui kenderaan itu yang ditinggalkan pemandu berkenaan di tepi jalan di Gual Tinggi di sini dalam keadaan enjin yang masih hidup.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati, setiap satu plastik berkenaan berisi pokok bunga ros yang diseludup dari Thailand.

Rampasan berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Rantau Panjang untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kami percaya pokok-pokok berkenaan adalah untuk pasaran sekitar Kelantan memandangkan tumbuhan itu mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan penggemar pokok-pokok hiasan di negeri ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Maqis 2011," katanya.