Pemandu cemas lori dipandu dihempap pokok tumbang

Sebatang pokok tumbang menghalang laluan dan keadaan lori yang dihempap dahan pokok di Jalan Pantai Morib menghala ke Tanjung Sepat, di sini, pada Rabu.
Sebatang pokok tumbang menghalang laluan dan keadaan lori yang dihempap dahan pokok di Jalan Pantai Morib menghala ke Tanjung Sepat, di sini, pada Rabu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila sebatang pokok menghempap lori yang dipandunya dalam kejadian di Jalan Pantai Morib menghala ke Tanjung Sepat, di sini, pada Rabu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.47 pagi.

"Sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting dikejarkan di lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi, kita mendapati pokok tumbang dan menghalang laluan kenderaan, sebuah lori muatan 10 tan yang melalui jalan tersebut tidak sempat mengelak dan dihempap dahan pokok tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohamadul Ehsan berkata, pemandu lori berusia 30-an itu berjaya keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri.

"Pemandu tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan, pihak Bomba dan Penyelamat sedang menjalankan kerja-kerja mengalihkan batang pokok yang menghalang laluan," katanya.