30 doktor kontrak berarak secara aman di HSA Johor Bahru

Hartal doktor kontrak di HSA Johor Bahru berjalan dengan aman pada Isnin.
Hartal doktor kontrak di HSA Johor Bahru berjalan dengan aman pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai kira-kira 30 orang doktor kontrak di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini menyertai hartal doktor kontrak secara aman bermula jam 11.10 pagi pada Isnin.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kebanyakan doktor terbabit mengenakan pakaian hitam berarak secara aman dengan berjalan kira-kira tiga kilometer di kawasan sekitar HSA.

Seramai lebih 20 anggota polis turut dilihat melakukan kawalan bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, jurucakap doktor kontrak berkenaan yang enggan dikenali berkata, kesemua doktor yang menyertai perarakan mogok aman itu berada dalam waktu rehat mereka dan tidak menjejaskan tugasan hakiki di hospital itu.

"Kami akan menyambung kembali tugasan selepas waktu rehat kami tamat nanti.

Hartal doktor kontrak di HSA Johor Bahru berjalan dengan aman pada Isnin.
Hartal doktor kontrak di HSA Johor Bahru berjalan dengan aman pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat kira-kira 100 doktor kontrak di HSA, namun bukan semuanya menyertai perarakan mogok ini kerana sebahagiannya perlu bertugas dan mengutamakan tanggungjawab lebih penting.

"Tiada kenyataan lain akan dikeluarkan kerana tujuan perarakan mogok ini sudah diketahui umum," katanya sebelum bersurai daripada perarakan itu.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan seramai 4,000 hingga 5,000 doktor kontrak seluruh negara dijangka menyertai protes yang dijadualkan berlangsung pada Isnin ini.

Wakil Kumpulan Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr Umar Baraka berkata, protes tersebut akan diteruskan memandangkan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung lanjutan khidmat kontrak kumpulan itu tidak memenuhi tuntutan yang dibuat mereka.

Pada Jumaat, Muhyiddin dalam kenyataan akhbarnya berkata bahawa kabinet bersetuju supaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Ia bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

[LIVE] Protes Hartal Doktor Kontrak di Hospital Sultanah Aminah ( HSA) Johor Bahru, Johor

[LIVE] Protes Hartal Doktor Kontrak di Hospital Sultanah Aminah ( HSA) Johor Bahru, Johor, lapor wartawan Sinar Harian Nor Azura Md Amin.

Posted by Sinar Harian on Sunday, July 25, 2021