Mogok doktor kontrak: Operasi HSA tenang, lancar

Perkhidmatan perubatan di HSA berjalan lancar.
Perkhidmatan perubatan di HSA berjalan lancar.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kesemua operasi perkhidmatan kesihatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada Rabu berjalan lancar seperti biasa biarpun dilaporkan berkemungkinan berlaku mogok oleh doktor kontrak selama tiga hari mulai Isnin lalu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kesemua unit perkhidmatan kesihatan di hospital berkenaan termasuk Jabatan Pesakit Luar, Jabatan Kecemasan dan Trauma dan lain-lain berjalan seperti biasa.

Menurut seorang doktor pakar yang tidak mahu dikenali, setakat ini tiada laporan berhubung mogok oleh doktor-doktor kontrak di hospital berkenaan.

Malah katanya, rata-rata doktor kontrak di hospital berkenaan tetap bertugas seperti biasa mengikut jadual ditetapkan.

Orang ramai menunggu giliran mendapatkan bekalan ubat di farmasi.
Orang ramai menunggu giliran mendapatkan bekalan ubat di farmasi.

"Setakat ini, memang tak ada berlaku mogok oleh doktor-doktor kontrak di HSA, semuanya bekerja macam biasa.

"Kita pun tak ada terima laporan (mogok) tu di sini (HSA)," katanya.

Untuk rekod, kumpulan doktor kontrak dilaporkan bakal mengadakan mogok di seluruh negara pada Isnin hingga Rabu ini kerana kecewa dan tertekan dengan sistem penjagaan kesihatan negara.

Bagaimanapun, setakat ini mogok berkenaan dilaporkan tidak berlaku di Johor.

Malah, Ahad lalu, Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Aman Rabu berkata, pihaknya akan menegur selain memberikan nasihat kepada doktor-doktor kontrak berkenaan untuk tidak terlibat dengan mogok berkenaan dan sekiranya masih berdegil, tindakan tatatertib akan dikenakan.