KKM alu-alukan kerjasama, cadangan Hartal Doktor Kontrak

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. - Foto Bernama
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengalu-alukan kerjasama dan cadangan Hartal Doktor Kontrak untuk memastikan transformasi terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan negara ini.

Menurutnya, usaha untuk menangani masalah doktor kontrak akan ditangani di pelbagai kementerian.

“Saya juga memahami kekecewaan dan masalah yang dialami kini, jadi saya bersama rakan-rakan di pelbagai kementerian melalui Suruhanjaya Reformasi Kesihatan akan mempercepatkan usaha menangani isu tersebut,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook rasmi Zaliha.

Pada Isnin, pihak sekretariat Hartal Doktor Kontrak memaklumkan bahawa pihaknya tidak terbabit dan tiada sebarang pengaruh secara langsung atau tidak langsung dalam Mogok Doktor Kontrak yang diadakan mulai hari ini sehingga Rabu.

Pada masa sama, Zaliha turut berterima kasih kepada gerakan itu kerana menjelaskan pendirian mereka berhubung mogok doktor kontrak baru-baru ini.

Jelas beliau, kematangan, kesabaran dan pemahaman mereka dalam menangani masalah itu sememangnya boleh membawa kepada penyelesaian bersama.