'Mujur adik ipar sedar bau asap'

Perabot dalam rumah hangus. Gambar kecil: Siti Zarah
Perabot dalam rumah hangus. Gambar kecil: Siti Zarah
A
A
A

SABAK BERNAM - Penghuni tiga rumah di Taman Berkat dekat sini hanya mampu menarik nafas lega selepas selamat dalam kejadian kebakaran pagi semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 5, kesemua penghuni sedang tidur.

Menceritakan kejadian, mangsa Nur Nadia Mohd Murad, 26, yang baharu lepas berpantang berkata, adik iparnya, Mohamad Hakimi Zainal Abidin, 21, tersedar selepas terhidu bau asap ketika berada di bilik tidur berhampiran dapur kediaman berkenaan.

"Tak tahulah apa nasib kami sekeluarga, mujur adik ipar tersedar dan tengok rumah dah terbakar," kata Nur Nadia.

Menurutnya, ketika itu dia bersama anak yang berusia 45 hari berada di ruang tamu rumah dan terdengar adik ipar memberitahu ibunya dia nampak api dari dapur rumah.

"Mulanya, ibu sangka rumah belakang terbakar, tapi tak sangka rupa-rupanya dapur rumah dah disambar api.

"Tanpa berlengah, saya kemudiannya terus mengendong anak sulung keluar dari rumah. Masa kejadian itu, saya hanya fikir keselamatan anak dan ahli keluarga lain," katanya.

Bagaimanapun katanya, dalam keadaan kelam kabut, dia terus menghubungi bomba untuk bantuan.

Artikel Berkaitan:

Nur Nadia memberitahu, ketika kejadian, suaminya berada di Shah Alam kerana bekerja, manakala dia baharu dua minggu berada di rumah ibu mertuanya, Rosita Aziz, 51.

Barangan perniagaan Siti Zarah musnah
Barangan perniagaan Siti Zarah musnah

Sesak nafas

Katanya, kejadian itu mengakibatkan Mohamad Hakimi turut mengalami sesak nafas dan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

"Mohamad Hakimi sempat juga selamatkan barang keperluan bayi, dokumen penting dan mengangkat tong gas bagi mengelakkan kebakaran lebih buruk.

"Malah, dia juga sempat mengetuk pintu rumah jiran sebelah bagi menyelamatkan wanita terbabit," katanya.

Jirannya, Siti Zarah Mustam, 56, berkata, dia yang bersendirian tersedar daripada tidur selepas pintu rumahnya diketuk

"Saya terjaga sebaik terdengar jiran menjerit minta saya keluar dari rumah. Bila pintu rumah dibuka, jiran beritahu rumah terbakar, bila toleh ke belakang saya nampak api marak membakar almari hingga ke bumbung," katanya.

Siti Zarah yang juga ibu tunggal lima anak berkata, dia kemudiannya menyelamatkan diri dan sempat mengeluarkan van dan sebuah motosikal.

Siti Zarah yang juga penjaja makanan berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM30, 000 selepas peralatan perniagaannya musnah dijilat api.

"Saya tinggal seorang diri di rumah ini, cuma kadang-kadang anak bongsu ada juga balik menemani saya pada hujung minggu," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar, Muhamad Khuzaimey Ibrahim berkata, sebanyak tiga deretan rumah di Taman Berkat, di sini, terbakar awal pagi, semalam.

Dalam kejadian kira kira jam 5.30 pagi itu, sebuah rumah musnah 80 peratus manakala dua lagi mengalami kebakaran 30 peratus.

"Pihak kami menerima panggilan jam 5.32 pagi dan tiba di lokasi jam 5.34 pagi. Operasi disertai 10 anggota BBP Sungai Besar dan dibantu anggota BBP Sabak Bernam," katanya.

Beliau berkata, api berjaya dikawal dua jam kemudian dan padam sepenuhnya jam 7.30 pagi.

"Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran ini.

"Punca dan kerugian dialami masih dalam siasatan," katanya.