Buku Seni Kuisin Bonda kekalkan warisan makanan Kelantan

A
A
A

PETALING JAYA – Keunikan resipi, teknik penyediaan dan sejarah makanan tradisional Kelantan dihimpunkan menerusi penerbitan buku Seni Kuisin Bonda: Suatu Kearifan Gastronomi Kelantan bagi memastikan warisan kulinari negeri itu terus dikenali generasi akan datang.

Penaung Persatuan Kemajuan Wanita Kelantan di Kuala Lumpur dan Selangor (Puspa), Datuk Tengku Noor Zakiah Tengku Ismail berkata, seni gastronomi Melayu mempunyai hubungan rapat dengan sejarah dan budaya masyarakat, termasuk tradisi masakan yang berkembang dari istana kepada orang ramai.

“Sejarah kulinari dan gastronomi Melayu turut berakar dari dapur istana. Di situlah resipi diperhalus. Adab santapan dipelihara. Seni memasak berkembang bersama kehalusan budi dan kebijaksanaan budaya.

“Setiap resipi menyimpan cerita. Setiap ramuan mempunyai sejarah. Setiap hidangan membawa bahasa kasih yang tidak terucap,” katanya ketika memberi ucapan dalam majlis pelancaran buku tersebut di Auditorium Universiti Islam Malaysia, Petaling Jaya pada Sabtu.

Beliau berkata, penerbitan buku itu juga menjadi jambatan antara generasi lama dengan generasi muda dalam memastikan warisan masakan yang diwariskan oleh ibu dan nenek terus dipelajari serta diamalkan.

Pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Seri Datuk Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj disaksikan, mantan exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor dan pengasas serta penasihat Puspa, Datuk Dr Nik Safiah Karim.

Sementara itu, dalam sidang akhbar, penulis buku tersebut merangkap Presiden Puspa, Dr Azizah Hamzah berkata, proses penyediaan buku berkenaan melibatkan usaha mendapatkan maklumat daripada pengusaha dan individu yang masih mengamalkan kaedah penyediaan makanan tradisional bagi memastikan keaslian resipi serta teknik memasak dapat direkodkan.

Azizah menjelaskan, usaha dokumentasi itu penting kerana terdapat makanan warisan yang berisiko dilupakan sekiranya tiada pihak mewarisi pengetahuan dan kemahiran menyediakannya.

“Kita bukan sekadar bercakap tentang makanan, tetapi juga budaya dan hubungan masyarakat Kelantan dengan ekonomi, dari kehidupan di kampung hingga sekarang.

Artikel Berkaitan:

“Tujuan kami semata-mata untuk mendokumentasikan dan merekodkan warisan ini supaya anak-anak muda, termasuk generasi selepas Gen Z dan Gen Alpha, tidak melupakannya,” katanya.

Naskhah yang diterbitkan Universiti Malaya Press itu turut menampilkan sumbangan 10 penulis dengan kepakaran dalam bidang masing-masing, termasuk sejarah, masakan dan pengetahuan berkaitan tumbuhan.

Buku berkenaan dijual pada harga RM97 bagi edisi kulit keras manakala RM77 untuk kulit lembut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!