Pemuda Wawasan Selangor kemuka lima tuntutan tangani banjir berulang

Ismail Ibrahim
Ismail Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Parti Wawasan Negara (Wawasan) Selangor mengemukakan lima tuntutan utama kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa bagi menangani kejadian banjir berulang di beberapa kawasan di Selangor, termasuk Klang dan Kota Raja.

Tuntutan itu merangkumi tindakan segera di kawasan terjejas, penjelasan status projek tebatan banjir, penyelenggaraan sistem saliran secara berterusan, pemerkasaan sistem amaran awal serta bantuan dan pemulihan kepada mangsa.

Ketuanya, Ismail Ibrahim berkata, kejadian banjir kilat susulan hujan lebat pada 17 November lalu di beberapa kawasan Shah Alam, Sungai Buloh dan Klang menunjukkan keperluan pengurusan risiko banjir yang lebih menyeluruh.

Beliau berkata, kawasan terjejas termasuk laluan Seksyen 7, Jalan Meru dan sekitar Kota Kemuning, selain isu banjir yang dibangkitkan membabitkan Kota Raja.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu memastikan bantuan kecemasan, pemantauan paras air, operasi menyelamat dan keperluan asas mangsa banjir diselaraskan segera, khususnya di kawasan Kota Raja dan Klang.

"Kerajaan Negeri Selangor juga perlu memberikan penjelasan terbuka mengenai status pelaksanaan projek tebatan banjir, peruntukan yang sudah dibelanjakan serta jadual penyelesaian projek di kawasan berisiko," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Wawasan Bahagian Sungai Buloh berkata, pemeriksaan dan penyelenggaraan longkang, parit, sungai serta kolam takungan perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik.

Menurutnya, masalah saliran tersumbat dan sistem perparitan yang tidak berfungsi perlu ditangani secara sistematik bagi mengurangkan risiko kejadian banjir berulang.

"Selain itu, sistem amaran banjir perlu diperkasakan supaya penduduk mendapat maklumat lebih awal dan mempunyai masa mencukupi untuk mengambil langkah keselamatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam tuntutan kelima, beliau berkata, kebajikan mangsa banjir perlu diberikan perhatian menerusi penyaluran bantuan kewangan, makanan dan keperluan harian serta sokongan pemulihan secara tersusun tanpa mengira latar belakang kaum, agama atau fahaman politik.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, banjir bukan sekadar menyebabkan jalan ditenggelami air, sebaliknya turut mengancam keselamatan nyawa, merosakkan harta benda, menjejaskan sumber pendapatan serta memberi tekanan kepada keluarga yang terjejas.

Beliau turut mengambil maklum laporan bahawa kerugian akibat banjir di Selangor pada 2025 mencecah RM52.9 juta berbanding RM22.6 juta pada 2024.

Menurutnya, angka berkenaan menunjukkan impak banjir terhadap ekonomi dan kehidupan rakyat bukan perkara kecil serta memerlukan perhatian serius semua pihak.

"Rakyat tidak sepatutnya terus hidup dalam kebimbangan setiap kali hujan lebat melanda.

"Isu banjir tidak boleh hanya diberikan perhatian ketika air sedang naik, kemudian dilupakan apabila keadaan kembali pulih," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat dan komuniti setempat berganding bahu mencari penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah berkenaan.

Beliau menegaskan, rakyat memerlukan tindakan dan penyelesaian tuntas, bukannya sekadar janji serta penjelasan, selain keselamatan dan kesejahteraan penduduk perlu sentiasa menjadi keutamaan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!