MITI mahu PPV PIKAS Penggunaan Umum ditambah

Ban Hong (kanan) melawat PPV PIKAS pertama di Melaka iaitu di Pusat Konvensyen Bayou, Bukit Katil, Melaka pada Ahad. PPV PIKAS berkenaan akan dibuka pada Isnin.
Ban Hong (kanan) melawat PPV PIKAS pertama di Melaka iaitu di Pusat Konvensyen Bayou, Bukit Katil, Melaka pada Ahad. PPV PIKAS berkenaan akan dibuka pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mahu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Penggunaan Umum (Common Use) Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) ditambah bagi mempercepatkan program pemberian vaksin di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Lim Ban Hong berkata, setakat ini terdapat sebanyak 12 PPV PIKAS Penggunaan Umum dan dengan pertambahan itu nanti mampu mempercepatkan proses vaksinasi serta meningkatkan kapasiti vaksin kepada penggiat sektor industri.

Dengan penambahan itu juga, katanya, kesemua syarikat berdaftar boleh menggunakan lokasi PPV berkenaan berbanding PPV PIKAS 'on-site' seperti kilang Texas Instrument dan Infineon Technology yang terletak di negeri ini hanya membabitkan pekerja kilang itu sahaja.

"Saya berharap permohonan untuk membuka beberapa lagi PPV PIKAS Penggunaan Umum itu dapat dipenuhi dan sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mana pemberian vaksin perlu diselesaikan menjelang Oktober depan," katanya selepas melawat PPV PIKAS Penggunaan Umum di Pusat Konvensyen Bayou, Bukit Katil di sini pada Ahad.

Hadir sama ialah Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Rusdi Abdul Rahman dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, Nasrul Menhat.

Sementara itu, Ban Hong berkata, tiga PPV PIKAS termasuk dua PPV Penggunaan Umum dan satu PPV PiKAS 'on-site' akan diwujudkan di Melaka.

Katanya, pihaknya menyasarkan sebanyak 1,500 suntikan sehari di PPV PIKAS Pusat Konvensyen Bayou di sini, sekali gus memberi manfaat kepada seramai 70,952 pekerja membabitkan 613 syarikat telah berdaftar.

"Kementerian juga menyasarkan tambahan sebanyak 35,000 vaksin diagihkan di Melaka bagi mempercepatkan proses kadar vaksinasi di negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, setakat 24 Julai lalu, sebanyak 17,053 syarikat di seluruh negara telah berdaftar bagi menerima suntikan vaksin dan daripada jumlah itu, kira-kira 1.3 juta pekerja industri akan menerima vaksin.

"Seramai 28,596 pekerja pula telah lengkap dua dos suntikan vaksin menerusi program terbabit," jelas beliau.