Ketua Jabatan pantau tadbir urus sektor awam, swasta gred rendah

Gambar hiasan - 123RF Gambar kecil: Shahrir Rizal
Gambar hiasan - 123RF Gambar kecil: Shahrir Rizal
A
A
A

SHAH ALAM - Pemantauan daripada ketua-ketua jabatan terhadap kakitangan gred rendah dalam tadbir urus sektor awam atau swasta perlu diperketatkan sebagai usaha mencegah mereka daripada terlibat dalam gejala rasuah.

Yang Dipertua IKRAM Negeri Perlis, Profesor Madya Dr Shahrir Rizal Kasjoo berkata, mereka yang dipilih sebagai ketua jabatan selain berkelayakan, perlulah mempunyai jati diri dan tanggung jawab tinggi untuk memantau segala aktiviti pekerja.

Timbalan Pengerusi Rasuah Busters Peringkat Negeri Perlis itu berkata, prosedur atau tatakelola dalam pentadbiran perlu diperkemaskan atau ditambah baik supaya kelompongan yang boleh menjerumuskan pekerja ke dalam jenayah berkenaan dapat ditutup dengan baik.

“Kita perlu beri sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sekarang ini sedang berusaha memastikan adanya tata kelola yang baik.

“Perkara ini tak boleh buat seorang, perlu ada kerjasama daripada pelbagai pihak untuk capai sifar kes rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan ramai kakitangan agensi kerajaan serta swasta yang melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR), namun masih melakukan rasuah.

Menurut Dr Shahrir, beliau bersetuju dengan beberapa kenyataan yang diutarakan Azam Baki mengenai penguatkuasaan undang-undang, peranan ketua jabatan dan prosedur atau tatakelola dalam sistem pentadbiran.

"Selain IBR itu sendiri yang berperanan memberi pengetahuan kepada kakitangan awam atau swasta akan pentingnya nilai integriti," ujarnya.

Selain itu, beliau yang juga pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencadangkan, kakitangan awam dan swasta gred rendah perlu sentiasa diberikan contoh mengenai individu yang pernah terlibat dalam rasuah sebagai peringatan.

Ujarnya, ketirisan imej peribadi dan tahap kepercayaan orang awam yang rendah terhadap sesebuah institusi mampu menjadi penghalang kepada kemajuan sekali gus merencatkan pembangunan negara.

“Sebagai contoh, secara umum bila mana sesebuah projek dilaksanakan dan diuruskan oleh orang yang tidak layak, maka projek tersebut akan gagal kerana tidak berjalan dengan baik,” ujarnya dalam kenyataan sama.