X

Kindly register in order to view this article
!

MEDAC peruntuk RM230 juta bagi produk baharu TMPSKM

Wan Junaidi
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan sebanyak RM230 juta bagi pelaksanaan produk baharu di bawah Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM).

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sebanyak 14,629 koperasi dengan keahlian seramai hampir 6.5 juta orang bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan produk baharu ini.

Beliau berkata, lima produk yang dicadangkan untuk dilaksanakan dalam usaha meningkatkan promosi pembiayaan TMPSKM adalah Pembiayaan Koperasi Mikro (MicCoopFi-1), Pembiayaan Lestari (LesFi-1), Pembiayaan Permulaan (SuFi-1), Pembiayaan 100 Koperasi Terbaik (Best100Fi-1) dan Pembiayaan Pembayar Yang Baik (GPMFi-1).

"Pelancaran produk baharu ini diharapkan dapat membantu koperasi dalam membiayai projek berdaya maju daripada kluster mikro sehinggalah kluster besar mendapat manfaat daripada dana TMPSKM yang disediakan oleh kerajaan.

"MEDAC sentiasa prihatin dalam memastikan ekosistem sektor koperasi negara sentiasa konsisten dan dalam masa yang sama membantu meringankan beban kewangan koperasi yang terjejas," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Wan Junaidi berkata, kelima-lima produk berkenaan diperkenalkan sempena Sambutan Hari Koperasi Negara yang bertemakan ‘Rebuild Better Together’ dan pelaksanaan produk baharu ini adalah mengikut sasaran koperasi yang berbeza.

"Pembiayaan MicCoopFi-1 menyediakan kemudahan pembiayaan mudah kepada koperasi bagi kluster Mikro (perolehan tahunan kurang daripada RM200,000) kepada 50 buah koperasi untuk menjalankan aktiviti baharu atau modal pusingan bagi aktiviti sedia ada.

"Pembiayaan LesFi-1 menyediakan kemudahan pembiayaan dalam bentuk modal pusingan kepada 106 koperasi yang terpilih di bawah Program Desa Lestari di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar," katanya.

SuFi-1 pula menawarkan kemudahan pembiayaan kepada 936 koperasi baharu bagi membiayai projek yang berpotensi atau berdaya maju; Best100Fi-1 menyediakan kemudahan atau insentif pembiayaan kepada 100 Koperasi Terbaik Tahun 2020; dan GPMFi-1 bertujuan menyediakan insentif pembiayaan kepada koperasi yang mempunyai rekod pembiayaan yang baik dengan pihak SKM, tambahnya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!