Ayam Brand promosi produk baharu

Produk menggunakan resipi asli tempatan, cita rasa warga Malaysia

A
A
A

No Image Caption



SHAH ALAM - Ayam Brand terus mempromosikan pelbagai rangkaian produk terbaharunya melalui Ayam Brand Truck di beberapa lokasi terpilih seluruh Semenanjung Malaysia bermula Mei hingga Ogos depan.

Ayam Brand dalam satu kenyataan berkata, antara produk baharunya ialah pes rendang, pes kari ayam, pes sambal tumis dan pes asam pedas yang menggunakan resipi asli tempatan atau cita rasa warga Malaysia.

“Kami mempromosikan produk baharu ini dengan menjelajah ke seluruh negara bagi memastikan orang ramai dapat membeli dan menikmati produk baharu ini dengan cita rasa asli secara percuma,” jelas kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, keluaran rangkaian produk baharu Ayam Brand tidak mempunyai bahan pengawet, tanpa bahan aditif dan tambahan MSG serta disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Penggunaan pes ini dapat menjimatkan masa kerana senang dibuka dan dimasak. Setiap pes disediakan dalam bentuk pek seberat 180 gram (g) sesuai untuk dihidangkan kepada satu keluarga atau lima hingga enam orang.

“Sepanjang promosi itu berlangsung, banyak aktiviti menarik telah diadakan. Antaranya, berswafoto bersama trak Ayam Brand dan menerima hadiah misteri. Turut diadakan ialah Kira dan Menang yang menawarkan baucar RM50,” kata kenyataan itu.

Antara lokasi trak Ayam Brand di Selangor ialah Pasar Tani Bandar Saujana Putra, Kuala Langat pada 19 Mei ini, diikuti Pasar Tani Seksyen 6 Kelana Jaya (20 Mei) dan Pasar Tani Stadium (1) Shah Alam (21 Mei).

Trak Ayam Brand juga akan berada di sekitar Kuala Lumpur, antaranya di Menara Worldwide pada 22 Mei ini, diikuti Pasar Tani Taman Keramat Permai (24 Mei), Pasar Tani Tasik Permaisuri (27 Mei) dan Pasar Tani Danau Kota (28 Mei).