Segerakan proses vaksinasi pekerja kilang: MTUC

MTUC menggesa kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi terhadap pekerja kilang bagi mengurangkan risiko jangkitan. Gambar hiasan. - Foto 123RF
MTUC menggesa kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi terhadap pekerja kilang bagi mengurangkan risiko jangkitan. Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi terhadap pekerja kilang bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, gesaan itu adalah berdasarkan laporan yang dibuat oleh doktor kontrak yang mengendalikan pesakit di bahagian kecemasan menyatakan penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja kilang adalah tinggi dan pekerja yang positif juga dipaksa bertugas sehingga menjangkiti yang lain.

Menurut beliau, alasan untuk merancakkan ekonomi bagi pembukaan sektor perkilangan bukan satu pengecualian terhadap keselamatan pekerja.

"Membiarkan syarikat tanpa pengawasan yang ketat seperti tiada penguat kuasa memantau setiap hari di kilang adalah punca kepada penularan Covid-19.

"Kenyataan doktor kontrak ini adalah satu sumber yang boleh dipercayai kerana mereka terlibat secara langsung dan ini adalah satu berita yang mengecewakan MTUC," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kamarul Baharin berkata, Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pengurusan Sisa juga melaporkan bahawa majoriti ahli yang bekerja dalam sektor pembersihan masih lagi menunggu untuk divaksin.

Tambah beliau, pekerja sektor pembersihan berada dalam keadaan tertekan dan bimbang jika dijangkiti semasa bekerja.

"Kerajaan telah mengkategorikan pekerja pembersihan awam sebagai perkhidmatan perlu dan mereka bekerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 sehingga PKP 3.0.

Artikel Berkaitan:

"Akan tetapi apabila keutamaan pemberian vaksin dan elaun diberikan kepada barisan hadapan, pekerja pembersihan dikeluarkan dalam senarai tersebut.

Perbezaan tafsiran ini telah menyebabkan pekerja pembersihan menjadi sektor pekerjaan kelas kedua dan kelihatan tidak diiktiraf oleh kerajaan.

"Adakah sumbangan dan taraf pendidikan pekerja pembersihan yang menjadi aspek kepada kerajaan dalam menentukan barisan hadapan," soalnya.

Pada masa sama, Kamarul Baharin berkata, pihaknya juga kecewa dengan tindakan kerajaan yang disifatkan perlahan terhadap pemberian vaksin kepada rakyat terutama pekerja.

Beliau berkata, kemungkinan langkah mewajibkan pemberian vaksin kepada pekerja adalah perlu sebelum pekerja dibenarkan bekerja di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sehubungan itu katanya, kerajaan juga perlu menambah baik keadaan hospital dan kaedah pemberian vaksin diperluaskan dan dipermudahkan.