Sasar 25 peratus pekerja sektor swasta tubuh kesatuan sekerja

Sivanesan (dua dari kanan) melawat ruang pameran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak pada Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2023 peringkat Negeri Perak.
Sivanesan (dua dari kanan) melawat ruang pameran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak pada Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2023 peringkat Negeri Perak.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menyasarkan sekurang-kurangnya 25 peratus pekerja di sektor swasta menubuhkan kesatuan sekerja bagi tempoh lima tahun.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A Sivanesan berkata, dianggarkan 10 peratus pekerja negeri ini yang mendaftar sebagai ahli kesatuan sekerja.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius perkara itu berikutan penglibatan rendah pekerja terutama di sektor perkilangan menyertai kesatuan.

"Ini sesuatu bertentangan dengan konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) selain kekangan dari segi majikan dan prosedur di bawah Akta Kesatuan Sekerja dan Akta Perhubungan Perusabaan 1967 yang sedikit ketat.

"Menubuhkan kesatuan perlu mendapatkan persetujuan 51 peratus pekerja. Jika sesebuah perusahaan mempunyai 56 peratus pekerja asing mereka tidak boleh menganjurkan kesatuan sekerja.

"Ini antara kelemahan yang dikenal pasti dalam kesatuan yang perlu disemak semula," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2023 peringkat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Sivanesan
Sivanesan

Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Dr Rabaayah Daud dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perak, Zainal Ismail.

Sivanesan berkata, kerajaan negeri sedia membantu pekerja untuk menubuhkan kesatuan yang penting bagi melindungi hak pekerja.

Tambahnya, pihak majikan sewajarnya memberi kerjasama dengan membenarkan pekerja-pekerja mereka untuk menubuhkan kesatuan.

"Pejabat saya akan sediakan semua sumber bagi membantu pekerja menubuhkan kesatuan. Jika ada majikan yang mencabar di mahkamah, kita juga akan beri bantuan guaman.

"Saya berharap majikan di negeri ini membenarkan pekerja-pekerja untuk menubuhkan kesatuan yang mana ia adalah baik untuk kedua-dua pihak," katanya.

Sementara itu, sambutan dengan tema 'Persekitaran Kerja yang Selamat dan Sihat Merupakan Hak Asasi' yang disambut pada 28 April adalah bagi mengenang mangsa-mangsa terlibat kemalangan dan terkena penyakit pekerjaan di tempat kerja.

Sambutan kali ini memberi penekanan kepada isu kesihatan mental dan tekanan yang berpunca di tempat kerja.