Peruntukan hampir RM5 juta bantu masyarakat terjejas ribut

Lebih 140 rumah dan satu balai polis di Tanjung Sedili, dekat sini rosak selepas dipukul ribut dalam kejadian pada Jumaat.
Lebih 140 rumah dan satu balai polis di Tanjung Sedili, dekat sini rosak selepas dipukul ribut dalam kejadian pada Jumaat.
A
A
A

KOTA TINGGI - Kerajaan negeri memperuntukkan RM4.5 juta hingga RM5 juta bagi membantu masyarakat di Tanjung Sedili, dekat sini, yang terjejas teruk akibat kejadian ribut, petang semalam.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata, menerusi jumlah itu, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM5,000 hingga RM15,000 untuk setiap keluarga berdasarkan kerosakan harta benda termasuk rumah yang dialami mereka.

"RM4.5 juta hingga RM5 juta akan disediakan oleh kerajaan negeri untuk membantu mereka yang terjejas dengan bencana ribut berlaku semalam.

"Sekolah, balai polis, klinik.. (juga ada terjejas), kita belum ada angka lagi tapi agensi terlibat sedang membuat anggaran kerosakan untuk bangunan terlibat," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa ribut di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Seri Setia Jaya, Tanjung Sedili pada Sabtu.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, sebagai permulaan setiap keluarga menerima bantuan wang tunai RM1,000 dari kerajaan negeri, RM400 dari Majlis Agama Islam Negeri Johor dan bakul makanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Selain daripada bantuan makanan, kita tahu dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara ini, kita akan ambil masa panjang untuk baiki rumah terjejas, jadi kita kenal pasti tempat sementara bagi mereka yang memerlukan seperti rumah inap, sementara tunggu rumah mereka dibaiki," katanya.

Hadir sama Pegawai Daerah Kota Tinggi Hazlina Jalil, ADUN Johor Lama Rosleli Jahari dan ADUN Sedili Rasman Ithnain.

Dalam kejadian semalam, hujan lebat kira-kira pukul 3 petang yang kemudiannya, disusuli ribut dan angin kencang, menyebabkan 291 rumah dan beberapa bangunan kerajaan mengalami kerosakan dan lebih 20 pokok tumbang.

Artikel Berkaitan:

Tujuh kampung terjejas dalam kejadian ribut itu antaranya Kampung Teluk Jeri Luar, Kampung Teluk Jeri Dalam, Tanah Putih dan Kampung Sri Gading.

Turut terjejas Klinik Kesihatan Sedili Besar, kuarters polis serta kuarters klinik kesihatan dan beberapa sekolah. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 140 rumah, perumahan balai polis rosak dipukul ribut