Kerajaan perlu ada keberanian

Anis, Johan dan Cynthia
Anis, Johan dan Cynthia
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa melihat semula cadangan yang telah dikemukakan oleh Jawatankuasa Pembiayaan Dana Politik sekiranya benar-benar telus mahu mengawal sumber kewangan parti-parti politik di negara ini.

Felo Utama di Institut Kajian Etnik UKM, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata, isu berhubung pembiayaan dana politik bukan perkara baharu untuk diperbincangkan kerana ia telah diusulkan sehingga ke peringkat Parlimen pada 2019.

Malah katanya, usul yang lengkap dengan cadangan itu juga telah dikemukakan oleh Jawatankuasa Pembiayaan Dana Politik kepada pihak kerajaan sejak 2017.

Menurut beliau, setelah sekian lama usul itu disiapkan, namun tidak ada pihak yang berusaha menjayakannya.

"Seharusnya usul yang telah lama disiapkan ini perlu digerakkan. Kerajaan sedia ada boleh push perkara ini bagi dibentangkan kerana ia sudah dihantar ke peringkat Parlimen pada 2019.

"Tetapi pada Februari 2020 apabila bertukar kerajaan, sudah tidak tahu status berhubung usul ini sehingga peringkat mana?," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Anis berkata, usul tersebut mungkin 'sangkut' sekiranya ada arahan untuk dilakukan pindaan.

Namun jelas beliau, sekiranya tidak ada sebarang arahan pindaan dan sudah ada draf mengenainya, kenapa perkara itu tidak dilaksanakan?

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, sekiranya hendak menggesa wujudkan akta berhubung pembiayaan dana politik di negara ini, perkara tersebut bukan perkara baharu yang hendak dibuat malah telah digerakkan sejak zaman pentadbiran negara di bawah UMNO lagi.

"Jika mahu maklumat terkini dan nak mengetahui selanjutnya berhubung usul ini, boleh bertanyakan terus kepada pihak Pusat Governance di Jabatan Perdana Menteri," jelasnya.

Sementara itu, Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, setelah tiga buah kerajaan menerajui negara ini bermula dari Barisan Nasional (BN) diikuti Pakatan Harapan (PH) dan kini di bawah Perikatan Nasional (PN), namun tiada pihak yang berusaha menjayakan akta melibatkan pembiayaan dana politik di negara ini.

Beliau yang juga ahli Jawatankuasa Pembiayaan Dana Politik ditubuhkan pada 2016 itu berkata, siapakah sebenarnya yang perlu mendorong supaya akta ini dapat direalisasikan bagi menghalang penyalahgunaan kuasa dan gejala rasuah berlaku.

Menurut Johan, laporan dan cadangan diusahakan oleh Jawatankuasa Pembiayaan Dana Politik yang telah dibuat pada zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Razak itu bertujuan mempraktikkan amalan telus di dalam parti politik.

"Kita mahu seperti mana ia dilakukan di Amerika Syarikat. Semua pembiayaan dana politik harus diumumkan secara terbuka dan menyatakan jumlah yang diterima. Salah satu cadangan jawatankuasa ini adalah semua dana pembiayaan politik tidak boleh diselindung," tegasnya.

Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), Cynthia Gabriel pula berkata, pihaknya bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain telah lama menggesa Akta Dana Politik diwujudkan, tetapi political will itu seakan-akan langsung tidak diendahkan.

Sebagai contoh katanya, kes pertuduhan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah kes terbaharu di mana dana politik memang boleh berlaku dalam sistem politik di negara ini.

Jelasnya, C4 berasa begitu kecewa kerana seolah-olah ahli politik di kedua-dua belah pihak tidak berminat untuk menegakkan akauntabiliti terhadap diri mereka sendiri atau parti politik masing-masing.

"Ini kerana mereka memerlukan dana untuk menang dalam pilihan raya.

"Selain itu, bukan juga kerana mereka (ahli politik) takut dan tiada keberanian tetapi tidak ada komitmen melaksanakannya.

"Oleh sebab itu, kami dan NGO lain kena mencari jalan lain untuk membina sokongan daripada rakyat dan badan korporat yang mahu melihat ketelusan di dalam negara ini," tegasnya.

ARTIKEL BERKAITAN:SPRM tidak dilibatkan dalam draf undang-undang biayai dana politik

ARTIKEL BERKAITAN:Siasatan SPRM tiada agenda politik

ARTIKEL BERKAITAN:Wajib laporkan dana politik daripada penderma