Masalah liputan Kampung Relai selesai tahun depan

Mohammad Fakhruddin
Mohammad Fakhruddin
A
A
A

KUANTAN - Masalah rangkaian telekomunikasi di Kampung Relai, Lipis akan diselesaikan selepas proses menaik taraf menara telekomunikasi menggunakan teknologi gentian siap sepenuhnya tahun hadapan.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kerja menaik taraf menggunakan teknologi gentian optik itu dilakukan bagi menggantikan teknologi sedia ada yang menggunakan Very Small Aperture Terminal (VSAT) yang hanya mampu menawarkan perkhidmatan 2G dan 3G.

Menurutnya, kerja menaik taraf itu dilakukan bagi membolehkan menara tersebut menyediakan capaian perkhidmatan internet jalur lebar 4G kepada penduduk di perkampungan tersebut.

"Kerja-kerja awal naik taraf iaitu tinjauan teknikal tapak (technical site survey) telah pun bermula sejak awal Julai lalu.

"Kerja naik taraf dijangka siap sepenuhnya pada penghujung suku pertama tahun hadapan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Rabu lalu, sebuah akhbar tempatan melaporkan kisah sekumpulan pelajar dari Kampung Relai, Kerambit di Lipis yang terpaksa mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di atas bukit kerana capaian internet lemah.

Mengulas lanjut, Mohammad Fakhruddin berkata, pihaknya bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang telah mengadakan beberapa siri lawatan ke kampung berkenaan.

Jelasnya, buat sementara waktu, pihaknya telah mencadangkan kepada SKMM untuk menggunakan langganan perkidmatan internet broadband satelit.

Artikel Berkaitan:

“Program Connectme bukanlah projek di bawah seliaan SKMM, ia adalah pakej internet daripada syarikat telekomunikasi dengan bayaran tertentu dengan menawarkan perkhidmatan oleh Measat dan menggunakan teknologi VSAT (satelit).

"Namun cadangan ini boleh diguna pakai untuk sementara waktu ketika kita menunggu kerja-kerja menaik taraf menara telekomunikasi siap pada penghujung Mac 2022 nanti," ujarnya.

Tambah Mohammad Fakhruddin, di Kampung Kerambit terdapat satu Pusat Internet Komuniti (PIK) dan ia ditutup sementara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, namun jika PIK ini dibuka ia berfungsi dalam lingkungan lebih kurang 200 meter, memudahkan pelajar di sekitar kawasan berhampiran menggunakan fasiliti wifi internet.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan kerajaan Pahang dalam usaha meningkatkan lagi telekomunikasi dan internet di situ.

Ujarnya, sebelum ini lawatan telah dibuat di lokasi menara yang sedia ada bagi melaksanakan ujian tahap liputan.

"Selain inisiatif di Kampung Relai, sebanyak tujuh menara baharu telah dirancang untuk dibina di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

"Daripada jumlah itu, sebanyak dua menara iaitu di Kampung Sungai Lik dan Kampung Ridan telah siap dan mula beroperasi pada awal Jun manakala lima menara lagi akan mula dibina seawal September dan dijangka siap secara berperingkat antara Mac hingga Jun 2022," katanya.