Karpet masjid dicurah air selut busuk, serpihan tulang: Pemandu direman empat hari

TUMPAT – Seorang lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pemandu direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes khianat dan mencemarkan Masjid Al-Aziz Al-Hadi di Kota SPP Warisan di sini susulan kejadian karpet masjid dicurah air selut berbau busuk.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang dilaporkan pada 5 Oktober lalu.
Menurut beliau, lelaki terbabit direman bermula Sabtu hingga Selasa ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 295 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Terdahulu jemaah sebuah masjid di Kampung Berangan di sini dikejutkan dengan perbuatan khianat apabila karpet ruang solat dicemari air selut berbau busuk dan bercampur serpihan tulang serta bulu pada pagi Isnin.
Kejadian itu disedari pihak Masjid Al-Aziz Al-Hadi Kota SPP Warisan pada jam 6.30 pagi sebelum kontraktor pembersihan dipanggil untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.
Mohd Khairi memberitahu, pihaknya memandang serius sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan serta kesucian rumah ibadat.
Ujarnya, sehubungan itu orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak sahih.
"Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu juga diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

