Jerebu: Peperiksaan sekolah agama Johor diteruskan, calon wajib pakai pelitup muka

Peperiksaan SMA yang dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 23 Oktober turut diteruskan mengikut jadual ditetapkan. Foto hiasan
Peperiksaan SMA yang dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 23 Oktober turut diteruskan mengikut jadual ditetapkan. Foto hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Beberapa peperiksaan di sekolah agama bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) diteruskan sepanjang tempoh penutupan sekolah di negeri ini dari 19 hingga 23 Oktober susulan keadaan jerebu.

JAINJ dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, peperiksaan yang diteruskan termasuk Peperiksaan Akhir Tahun murid Tahap Satu, Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA) bagi mata pelajaran tertentu dan Sijil Menengah Agama (SMA).

Menurut kenyataan itu, Peperiksaan Akhir Tahun bagi murid Tahun Satu hingga Tahun Tiga di Sekolah Agama Kerajaan Johor yang dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 23 Oktober akan diteruskan seperti ditetapkan.

“Ujian Lisan al-Quran bagi UPKK 2026 untuk murid Tahun Lima dilanjutkan sehingga 21 Oktober, manakala Ujian Lisan al-Quran dan Hafazan bagi Peperiksaan Akhir Tahun murid Tahun Satu hingga Tahun Lima dilanjutkan sehingga 5 November,” menurut kenyataan itu.

Peperiksaan SMRA bagi mata pelajaran Lughah Arabiah Muasirah (LAM) di Sekolah Menengah Agama Negeri Johor, daerah Batu Pahat, pada 20 Oktober juga diteruskan.

Sementara itu, peperiksaan SMA yang dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 23 Oktober turut diteruskan mengikut jadual ditetapkan.

JAINJ memaklumkan, semua calon peperiksaan diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang peperiksaan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan mereka terpelihara.

Calon juga hanya perlu hadir ke sekolah pada hari peperiksaan masing-masing dan hendaklah pulang ke rumah sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan pada hari berkenaan.

Bagaimanapun, murid yang tidak terlibat dengan mana-mana peperiksaan tidak perlu hadir ke sekolah sepanjang tempoh penutupan operasi.

Artikel Berkaitan:

Pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan diteruskan bagi semua sekolah agama di bawah JAINJ bagi memastikan kesinambungan pembelajaran murid.

Sebelum ini, Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali memaklumkan semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negeri ditutup selama lima hari bermula 19 hingga 23 Oktober berikutan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara.

JAINJ menjelaskan, pelaksanaan peperiksaan tertentu itu dibuat berdasarkan penyelarasan dan ketetapan pihak berkuasa berkaitan, dengan mengambil kira aspek keselamatan serta kesihatan calon dan warga pendidik.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!