Pelajar buta selepas jalani pembedahan darah beku di kepala

KUANTAN - Kehilangan penglihatan sejak dua tahun lalu tidak mematahkan semangat seorang remaja untuk terus belajar dan menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu menggunakan tulisan Braille.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Muhammad Amirul Hamdan Rahim, 14, berkata, perubahan bermula selepas menjalani pembedahan kepala akibat masalah darah beku.
"Sebelum ini saya boleh baca bahan bercetak termasuk al-Quran biasa.
"Tapi selepas menjalani pembedahan kepala, saya tidak boleh lihat dan kini perlu belajar menggunakan Braille pula untuk membaca," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pusat Pembelajaran Al-Quran Braille Negeri Pahang di Masjid Tepian Putra, di sini baru-baru ini.

Muhammad Amirul Hamdan memberitahu, kemudahan e-Braille yang diperkenalkan turut membuka peluang kepadanya mempelajari al-Quran dalam format yang lebih sesuai dengan keadaannya
“Saya teruja dengan pelancaran pusat ini dan mahu belajar menggunakan e-Braille untuk mendalami al-Quran,” ujarnya.
Sementara itu, Zulkarnain Selamat, 41, berkata, penggunaan peranti al-Quran e-Braille masih baharu baginya kerana sebelum ini dia menggunakan al-Quran Braille fizikal.
Menurut anggota Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Temerloh itu, dia baru tiga kali menggunakan peranti itu dan memerlukan lebih banyak latihan untuk membiasakan diri.
"Mulanya rasa agak sukar, tetapi apabila sudah biasa dan mahir, ia menjadi lebih mudah.
"Banyak perkara yang perlu saya pelajari dan ulang latihan, termasuk langkah asas untuk menghidupkan serta mematikan peranti," katanya.
Zulkarnain mengakui mengikuti pengajian al-Quran di Pusat Aktiviti Pertis selama lapan hari setiap bulan membantunya mempelajari cara mengendalikan e-Braille.
Katanya, fungsi suara penting bagi membolehkannya mengetahui arahan ketika menggunakan peranti berkenaan.
"Saya berharap dapat menghafaz 30 juzuk al-Quran kelak," katanya.

Dalam pada itu, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.2 juta bagi memberi manfaat kira-kira 800 peserta.
Menurutnya, sebanyak 60 peranti e-Braille kini disediakan di lapan Pusat Pembelajaran Al-Quran Braille Negeri Pahang di seluruh negeri.
"Inisiatif itu bukan sahaja dimanfaatkan golongan OKU penglihatan, malah turut mendapat penyertaan individu yang mempunyai penglihatan normal.
“Seramai 28 guru telah dilantik untuk mengajar dan kebanyakannya pelajar di Sekolah Pendidikan Khas dengan lebih 100 pelajar menikmati kemudahan ini sehingga hari ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

