Pegawai AKPS maut: Suasana pilu, tangisan dua anak iringi kepulangan jenazah Norhazwani

Ahli keluarga tidak dapat menahan sebak ketika jenazah pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Norhazwani Ibrahim, 35, tiba di rumah keluarganya 1.10 pagi untuk disolatkan di Kampung Banjir, Telaga Lanas, Pengkalan Kubor awal pagi tadi. Foto Bernama
Ahli keluarga tidak dapat menahan sebak ketika jenazah pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Norhazwani Ibrahim, 35, tiba di rumah keluarganya 1.10 pagi untuk disolatkan di Kampung Banjir, Telaga Lanas, Pengkalan Kubor awal pagi tadi. Foto Bernama
A
A
A

TUMPAT – Suasana pilu menyelubungi keluarga Allahyarham Norhazwani Ibrahim, 35, apabila jenazah pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) itu tiba di kampung halamannya di Kampung Banjir, Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, awal pagi tadi.

Tangisan dua anak perempuan Allahyarham, Nordianisa Sofia Mohd. Khairuddin, 6, dan Noralisa Amara, 5, mengiringi kepulangan jenazah ibu mereka yang dipercayai dibunuh suaminya di Nilai, Negeri Sembilan, Khamis lalu.

Lebih menyayat hati, kedua-dua kanak-kanak itu menangis sambil meronta-ronta dan enggan keluar dari bilik walaupun dipujuk ibu saudara mereka, Marliza Ibrahim, 48, yang turut menjaga mereka sejak kecil.

Jenazah Allahyarham dibawa dari Masjid Kuarters KLIA Nilai, Negeri Sembilan, sebelum tiba di rumah keluarganya di Kampung Banjir, Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, kira-kira jam 1 pagi. Jenazah kemudian disolatkan buat kali kedua sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Kubor untuk dikebumikan pada jam 1.50 pagi.

Orang ramai menghadiri pengebumian pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Norhazwani Ibrahim, 35, di Tanah Perkuburan Islam Tanjong, Pengkalan Kubor, awal pagi tadi. Foto Bernama.
Orang ramai menghadiri pengebumian pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Norhazwani Ibrahim, 35, di Tanah Perkuburan Islam Tanjong, Pengkalan Kubor, awal pagi tadi. Foto Bernama.

Lebih 200 orang, termasuk ahli keluarga, kakitangan AKPS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk setempat, hadir mengiringi pengebumian Allahyarham.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS, SAC Datuk Mohd. Nasaruddin M. Nasir, dan Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie.

ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam maut dipercayai dibunuh suami

Artikel Berkaitan:

Polis sahkan pegawai AKPS maut dipercayai dibunuh suami

Pegawai kerajaan mati dipercayai dibunuh suami dalam proses cerai - Abang mangsa

Perselisihan rumah tangga dipercayai punca pegawai AKPS maut ditikam suami - Polis

Pegawai AKPS maut: Suami serah diri ke balai polis selepas tikam isteri, pisau dirampas

Pegawai AKPS maut: Suspek sempat telefon abang ipar beritahu isterinya sudah tiada

Pegawai AKPS dibunuh: Dua anak mangsa minta buat panggilan video, mahu bercakap dengan ibu mereka - Kakak

Abang Allahyarham, Mohd. Hazwan Ibrahim, 38, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menguruskan pengebumian adiknya, khususnya JKDM dan AKPS.

Jenazah pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Norhazwani Ibrahim, 35, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong, Pengkalan Kubor, awal pagi tadi.
Allahyarham Norhazwani ditemukan meninggal dunia di rumahnya di kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Nilai, Negeri Sembilan, pada Khamis lepas.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Jenazah pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Norhazwani Ibrahim, 35, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong, Pengkalan Kubor, awal pagi tadi. Allahyarham Norhazwani ditemukan meninggal dunia di rumahnya di kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Nilai, Negeri Sembilan, pada Khamis lepas. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Beliau berkata, bantuan kedua-dua agensi itu amat bermakna, bermula ketika Allahyarham berada di Hospital Seremban sehingga jenazah tiba di Pengkalan Kubor.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dalam memudahkan urusan pengebumian adik saya, terutamanya JKDM dan AKPS yang membantu ketika arwah masih di Hospital Seremban hingga tiba di Pengkalan Kubor.

“Saya amat berterima kasih dan berbesar hati kepada semua pihak yang memudahkan urusan pengebumian adik saya ini.”

Mohd. Hazwan berkata, keluarganya berasa lega kerana urusan pengebumian Allahyarham telah selesai dan mereka reda dengan kejadian yang menimpa adiknya.

Bagaimanapun, katanya, keluarga masih bersedih mengenangkan nasib dua anak Allahyarham yang masing-masing berusia lima dan enam tahun.

Menurutnya, keluarga belum memikirkan perancangan seterusnya, namun kedua-dua kanak-kanak itu akan tinggal bersama mereka.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS, SAC Datuk Mohd. Nasaruddin M. Nasir, berkata Allahyarham baru bertukar daripada JKDM ke AKPS pada 1 Julai lalu.

Beliau memaklumkan Norhazwani dikenali sebagai pegawai yang rajin dan komited dalam menjalankan tugas.

“Difahamkan arwah selalu membuat kerja lebih masa. Mungkin kerana dia mempunyai dua anak dan difahamkan suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Dari segi pekerjaan, tiada masalah. Dia seorang pegawai yang bagus, rajin dan komited dengan kerja,” katanya.

Terdahulu, Mohd. Nasaruddin turut menyampaikan sumbangan wang tunai daripada AKPS Kelantan kepada keluarga Allahyarham.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!