Budak lapan tahun maut dirempuh lori ketika ambil bola

Seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun maut selepas dilanggar sebuah lori di Jalan Surau Cik Man, Kampung Surau Haji Daud pada petang Sabtu. Foto polis
Seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun maut selepas dilanggar sebuah lori di Jalan Surau Cik Man, Kampung Surau Haji Daud pada petang Sabtu. Foto polis
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun maut selepas dilanggar sebuah lori di Jalan Surau Cik Man, Kampung Surau Haji Daud dekat sini petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada jam 4.10 petang, yang memaklumkan berlaku kemalangan melibatkan sebuah lori dan pejalan kaki.

"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3.40 petang semasa pemandu lori, yang datang dari arah Kampung Surau Haji Daud, telah terlanggar mangsa yang keluar secara tiba-tiba untuk mengambil bola yang tercampak di atas jalan raya.

"Kemalangan menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan," menurutnya dalam kenyataan Sabtu.

Beliau berkata, mayat pelajar Sekolah Kebangsaan Kubang Ikan itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!