Ibu tunggal ambil upah cuci ayam sara tiga anak

Mek Zah (tengah) terima sumbangan bakul makanan daripada Akademi Memandu Nasrom (AMN) Sdn Bhd yang disampaikan oleh Pengurus AMN, Nur Safrizal Ab Halim (kiri).
Mek Zah (tengah) terima sumbangan bakul makanan daripada Akademi Memandu Nasrom (AMN) Sdn Bhd yang disampaikan oleh Pengurus AMN, Nur Safrizal Ab Halim (kiri).
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal di Kampung Sering, Kedai Lalat di sini gigih mengambil upah mencuci ayam di kedai makan bagi menyara tiga anak lelakinya sejak tiga tahun lalu.

Mek Zah Mat Hassan, 56, berkata, dia perlu bekerja bagi menampung keperluan mereka tambahan pula salah seorang anaknya yang berusia 27 tahun mengalami kemurungan.

Menurutnya, dia akan bangun seawal jam 5 pagi untuk ke kedai makan tempatnya bekerja dengan berjalan kaki sejauh satu kilometer dari rumah kayu pusaka usang yang menjadi tempat tinggal mereka.

“Saya akan mencuci ayam dan membuat kerja-kerja pembersihan di gerai makan itu selama dua jam sehingga 7 pagi.

“Saya diupah RM10 setiap hari dan tuan majikan juga bermurah hati memberikan lauk untuk dibawa pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya pada Rabu.

Dia sebelum itu menerima sumbangan bakul makanan dan wang tunai daripada Akademi Memandu Nasrom (AMN) Sdn Bhd yang disampaikan oleh Pengurus AMN, Nur Safrizal Ab Halim.

Mek Zah berkata, sebelum ini, anaknya itu bekerja di Kuala Lumpur sebagai pembantu tukang masak dan pulang ke kampung pada tahun 2019 selepas mengalami kemurungan.

Artikel Berkaitan:

Mek Zah (kanan) bersama dua anaknya di rumah mereka di Kampung Sering, Kedai Lalat, Kota Bharu.
Mek Zah (kanan) bersama dua anaknya di rumah mereka di Kampung Sering, Kedai Lalat, Kota Bharu.

"Pada mulanya dia kerap termenung dan tidak bercakap, namun lama-kelamaan keadaannya semakin teruk.

"Saya sudah banyak kali cuba membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun gagal kerana dia mengelak dan melarikan diri,” katanya.

Dia berkata, kehidupan keluarganya bertambah rumit selepas suaminya meninggal dunia pada tahun 2019.

“Anak saya tidak mempunyai kad rawatan atau rekod penyakit yang membolehkannya mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Ujarnya lagi, lima anaknya yang sudah berumah tangga turut membantu menampung perbelanjaan seharian, namun mereka juga kurang kemampuan.

"Penduduk setempat, pemimpin dan NGO (badan bukan kerajaan) seperti AMN juga banyak membantu kami sekeluarga,” katanya.

Bagi yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Mek Zah di talian 019-8676136 atau salurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional 0399541100422717.