Bomba terpaksa daki Bukit Harimau Menangis, padam kebakaran hutan

Keadaan kebakaran di puncak Bukit Harimau Menangis petang, pada Khamis. Foto: Ihsan bomba
Keadaan kebakaran di puncak Bukit Harimau Menangis petang, pada Khamis. Foto: Ihsan bomba
A
A
A

KEMAMAN - Operasi memadam kebakaran hutan di puncak Bukit Harimau Menangis, Kemasik, di sini berdepan kesukaran ekoran keadaan bentuk muka bumi dan sumber air yang terhad, dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh, Khairulhasni Mohktar berkata, keadaan kawasan yang berbukit dan curam menyukarkan akses masuk jentera bomba ke lokasi bagi tujuan memadam kebakaran.

Menurutnya, anggota yang terlibat terpaksa mendaki bukit setinggi kira-kira 200 meter untuk ke lokasi tersebut dengan membawa peralatan yang berat.

Mengulas mengenai kejadian kebakaran itu, Khairulhasni berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3 petang sebelum sepasukan anggota bersama satu jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran dikatakan bermula dari puncak bukit sebelum merebak turun ke kaki bukit dan telah melibatkan kawasan seluas kira-kira 0.8 hektar.

"Selain terpaksa mendaki bukit dengan membawa peralatan yang berat untuk naik ke puncak, kita juga berdepan kesukaran mendapatkan sumber air di puncak bukit sehingga terpaksa mengambil air dari tasik berdekatan kaki bukit berkenaan untuk memadamkan kebakaran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Khairulhasni berkata, pihaknya telah berjaya mengawal kebakaran tersebut dan menganggarkan api mungkin akan berjaya dipadamkan sepenuhnya lewat malam ini.

Dalam masa sama, Khairulhasni menasihatkan orang ramai yang melakukan aktiviti mendaki di kawasan bukit dan hutan agar tidak sewenang-wenangnya membuang puntung rokok kerana tindakan itu boleh menjadi salah satu punca kebakaran hutan.

Artikel Berkaitan: