Kekosongan kerusi DUN Rantau diisi dalam 60 hari: SPR

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan dalam tempoh 60 hari, mulai hari ini.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, suruhanjaya itu sudah menerima Perakuan Mahkamah daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di bawah Seksyen 36A(3) (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengisytiharkan keputusan pilihan raya bagi kerusi DUN Rantau adalah terbatal.

"Selaras dengan Perkara LVI (5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, SPR akan mengisi kekosongan kerusi terbabit dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang dipastikan berlaku mulai hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengundi Rantau mahu calon anak tempatan

"Pemakluman rasmi mengenai kekosongan kerusi DUN itu juga akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan hari ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azhar berkata, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai perlaksanaan pilihan raya itu pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Pada PRU14, Datuk Seri Mohamad Hasan menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya Dr S Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan SPR.

Berikutan itu, pada 23 Mei lepas, Dr Streram yang juga pakar bius, memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN diadakan kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Artikel Berkaitan:

Dalam petisyennya, beliau menamakan Mohamad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai responden pertama; pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus Suyub sebagai reponden kedua; dan SPR responden ketiga.

Pada 16 Februari lepas, Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Mohamad daripada Barisan Nasional di kerusi DUN Rantau pada PRU-14 itu adalah tidak sah dan terbatal.

Hakim Datuk Azimah Omar dalam penghakimannya berkata tidak wujud sebarang undang-undang pilihan raya yang menyatakan tag atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk mengemukakan borang pencalonan. - Bernama