Kos PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram dianggar RM6 juta - SPR

Abdul Ghani
Abdul Ghani
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor dianggar melibatkan perbelanjaan sebanyak RM6 juta, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

"Perbelanjaan bagi PRK Parlimen Pulai dianggarkan RM4.5 juta manakala DUN Simpang Jeram sebanyak RM1.5 juta," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK berkenaan pada Khamis.

SPR menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan pada 9 September manakala penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi tersebut masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September.

"Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 26 Ogos sehingga jam 11.59 malam, 8 September 2023," katanya.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, SPR menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRK bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

"Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantìkan yang telah ditetapkan," katanya.

Maklumat lanjut dan borang permohonan boleh diperoleh daripada portal SPR di www.spr.gov.my mulai Khamis dan tarikh tutup permohonan pada 15 Ogos. - Bernama