Pengundi Rantau mahu calon anak tempatan

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Calon anak tempatan terus menjadi keutamaan dan kehendak rata-rata pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi berkenaan yang akan diadakan tidak lama lagi.

Kebanyakan mereka berpandangan bahawa anak tempatan merupakan individu yang paling memahami ‘jiwa’ dan permasalahan yang dihadapi masyarakat setempat selain mahu pemimpin yang akan mewakili mereka mempunyai sifat rendah diri dan hubungan baik dengan masyarakat.

Pengusaha bengkel motosikal, Thoo Chee Kian, 47, berkata dirinya cenderung memilih anak jati Rantau untuk mewakili kawasan itu kerana individu berkenaan bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah malah dapat membawa pembangunan yang perlu dan diinginkan masyarakat setempat.

“Kita mahukan seboleh-bolehnya wakil rakyat dalam kalangan orang tempatan sebab dia sudah mengetahui selok-belok kawasan ini serta kehendak dan kepentingan penduduk di sini. Jika wakil rakyat itu adalah orang luar, dia tidak tahu masalah orang tempatan.

“Jadi lebih baik kalau anak tempatan yang menjadi wakil rakyat nanti. Buat masa ini saya sangat selesa dengan suasana di Rantau dari segi kemudahan yang telah sedia ada cumanya satu sahaja masalah iaitu kekurangan tempat meletak kenderaan di pekan Rantau,” katanya kepada Bernama di sini.

Bekas pekerja swasta, S Mail Suradrin, 68, pula menyifatkan calon daripada kalangan anak tempatan merupakan ‘kunci’ kepada pembangunan berterusan DUN Rantau serta penyelesai kepada masalah yang dihadapi masyarakat di kawasan itu.

“Anak tempatan ini dia faham apa yang perlu dibuat dan apa yang masyarakat nak... Jika bukan anak tempatan, dia mungkin makan masa yang lama untuk memahami isu-isu setempat...jadi masalah itu lambat untuk diselesaikan,” katanya.

Berkongsi pandangan yang sama, pembantu kedai makan Atikah Khairi, 25, berkata sikap mesra rakyat dan selalu turun padang merupakan kriteria yang perlu ada dalam setiap calon yang bertanding.

Artikel Berkaitan:

“Pada keseluruhannya kawasan ini telah mengalami kemajuan cuma terdapat beberapa masalah lain perlu diatasi seperti lembu berkeliaran di jalan raya dan tempat awam serta pencemaran Sungai Linggi dan Sungai Semin.

“Selain itu, pengangkutan awam seperti bas dan teksi perlu dipertingkatkan lagi dan begitu juga masalah talian telekomunikasi yang agak sukar ditembusi di beberapa kawasan dalam DUN ini," katanya.

Sementara itu, suri rumah, S. Muniamah, 54, mahu anak jati tempatan yang mewakili mereka kelak merupakan daripada golongan muda dan sihat.

Selain itu, beliau juga mahu wakil rakyat berkenaan kerap turun padang menyelami permasalahan rakyat selain tidak sombong diri selepas memenangi PRK itu nanti.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 18 Feb lepas menolak rayuan yang dikemukakan oleh bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangannya di DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai terbatal dan tidak sah.

Pada 28 April tahun lepas, PKR menerusi calonnya Dr S. Streram tidak dibenarkan bertanding ekoran ketiadaan pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memasuki pusat penamaan calon menyebabkan Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO diumumkan menang tanpa bertanding di kerusi tersebut.

Dr Streram kemudian memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula kerana mendakwa Mohamad tidak dipilih secara sah dan terbatal, pada 23 Mei tahun lepas. - Bernama