X

Kindly register in order to view this article
!

40 kes positif Covid-19 di Pahang dirawat di ICU

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

KUANTAN - Sebanyak 40 kes positif Covid-19 di negeri ini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di dua hospital di Pahang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah berkata, daripada jumlah itu, 28 kes dirawat di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan manakala 13 kes lagi di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.

Menurutnya, setakat Selasa, sebanyak 2,232 kes positif sedang dirawat di lapan hospital di Pahang dan tujuh Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini manakala 650 kes berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC.

“Berdasarkan jumlah ini, 29 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan yang kini ditempatkan di ICU.

"Sebanyak 288 kes baharu telah dilaporkan pada Selasa menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif Covid-19 di Pahang telah mencecah ke angka 19,236 kes," katanya dalam satu kenyataan pada malam Selasa.

Beliau menjelaskan, terdapat satu kluster baharu berkaitan penularan tempat kerja dilaporkan pada Selasa di daerah Temerloh dengan 102 disahkan positif.

"Kluster ini dinamakan Kluster Paya Luas, Temerloh dan saya difahamkan kluster ini bermula dengan satu kes positif pada 5 Julai lalu di daerah Temerloh.

"Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana ia disyaki telah berlakunya penularan wabak di tempat kerja iaitu di Jalan Paya Luas, Taman Harapan.

“Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia. Sehingga Selasa, jam 12 tengah hari, seramai 2,037 individu telah disaring dalam kluster ini dan 102 daripadanya dikesan positif," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Bahari memaklumkan, terdapat 12 kluster aktif mencatatkan pertambahan kes disahkan positif Covid-19 sebanyak 89 kes.

"Ia melibatkan Kluster Industri Bentong Sebelas 2 (pertambahan 12 kes dengan jumlah keseluruhan 26 kes), Kluster Desa Corina (pertambahan tujuh kes dengan jumlah keseluruhan 26 kes), Kluster Industri Benus (pertambahan 13 kes dengan jumlah keseluruhan 260 kes).

“Kluster Jalan Chengal (pertambahan empat kes dengan jumlah keseluruhan 40 kes), Kluster Jalan Jaya (pertambahan enam kes dengan jumlah keseluruhan 69 kes), Kluster Jalan Mahkota (pertambahan enam kes dengan jumlah keseluruhan 34 kes), Kluster Jalan Pak Ngah Aziz (pertambahan lima kes dengan jumlah keseluruhan 28 kes),

“Kluster Kampung Kerpal (pertambahan dua kes dengan jumlah keseluruhan 19 kes), Kluster Pasar Kemunting (pertambahan lima kes dengan jumlah keseluruhan 1222 kes), Kluster Pos Iskandar (pertambahan 31 kes dengan jumlah keseluruhan 121 kes), Kluster Rantau Kenanga (pertambahan satu kes dengan jumlah keseluruhan 537 kes) dan Kluster Sungai Jelai (pertambahan satu kes dengan jumlah keseluruhan 101 kes),” katanya.

Tambah beliau, sebanyak 10 daerah berada dalam zon merah iaitu daerah Bentong, Bera, Jerantut, Kuantan, Maran, Pekan, Cameron Highlands, Raub, Lipis dan Temerloh manakala daerah Rompin berada di zon oren.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!