Terpaksa belajar bawah jambatan, atas pokok

Pelajar di Kampung Melayu Bukit Nyamuk, Simpang Renggam, Kluang, terpaksa belajar di bawah jambatan PLUS untuk mendapat capaian internet lebih baik.
Pelajar di Kampung Melayu Bukit Nyamuk, Simpang Renggam, Kluang, terpaksa belajar di bawah jambatan PLUS untuk mendapat capaian internet lebih baik.
A
A
A

KLUANG - Masalah capaian internet di Kampung Melayu Bukit Nyamuk di Simpang Renggam dekat sini mengganggu proses pembelajaran dalam talian pelajar di kawasan berkenaan.

Keadaan itu juga memaksa pelajar menggunakan pelbagai kaedah bagi mendapatkan capaian internet antaranya dengan memanjat pokok dan duduk di depan jalan raya berdekatan rumah.

Seorang penduduk, Roslan Mamat, 54, berkata, ada juga pelajar berkhemah di bawah jambatan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) untuk mendapatkan capaian internet.

Menurutnya, terdapat kira-kira 100 keluarga menetap di Kampung Melayu Bukit Nyamuk yang mengalami masalah capaian panggilan dan internet yang teruk.

"Terdapat juga pelajar duduk di bawah payung di depan rumah rumah untuk belajar dalam talian termasuk menghantar mesej atau panggilan video," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Johor, Datuk Mohd Fadel Alwi yang meninjau sesi pembelajaran dalam talian pelajar di kampung tersebut baru-baru ini.

Mohd Fadel (dua kiri) meninjau sesi pembelajaran dalam talian pelajar di Kampung Melayu Bukit Nyamuk Simpang Renggam, Kluang.
Mohd Fadel (dua kiri) meninjau sesi pembelajaran dalam talian pelajar di Kampung Melayu Bukit Nyamuk Simpang Renggam, Kluang.

Sementara itu, Hasnah Harun, 40-an berkata, anak-anaknya terpaksa menunggu di depan jalan rumahnya untuk belajar secara dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"Hendak buat macam mana, internet memang teruk, kalau duduk dalam rumah memang tak dapat internet," katanya.

Mohd Fadel pula berkata, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu bertindak segera bagi mengatasi masalah itu kerana membabitkan masa depan anak-anak di kampung berkenaan.

"Sesi pembelajaran dalam talian sudah dua tahun diadakan, bayangkan bagaimana sukarnya jika kita tidak dapat mendapat akses internet, boleh kacau emosi, samalah juga seperti anak-anak ini," katanya.