Orang Asli Kuala Boh bakal nikmati capaian internet lebih baik

Fadzli (tengah) meninjau menara telekomunikasi yang bakal memberikan kemudahan buat lebih 600 penduduk Kampung Orang Asli Kuala Boh,Cameron Highlands.
Fadzli (tengah) meninjau menara telekomunikasi yang bakal memberikan kemudahan buat lebih 600 penduduk Kampung Orang Asli Kuala Boh,Cameron Highlands.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Lebih 600 penduduk di Kampung Orang Asli Kuala Boh di sini bakal menikmati perkhidmatan lebih baik untuk akses kepada rangkaian komunikasi dan capaian internet menerusi pembinaan sebuah menara telekomunikasi di kampung tersebut.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal memberitahu, perkhidmatan tersebut bakal dinikmati sepenuhnya pada penghujung Julai depan.

Menurutnya, ia hasil keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas mengetahui masalah perkhidmatan kurang memuaskan di kampung itu ketika lawatan baginda pada Januari lalu.

"Maka pada hari ini kita menyaksikan sebuah menara telekomunikasi telah siap dibina di Kampung Orang Asli (KOA) Kuala Boh, Cameron Highlands.

"Menara ini dibina oleh syarikat Edotco Group Sdn Bhd. Saya baru sahaja menyaksikan majlis penyerahan menara tersebut daripada pihak Edotco kepada CelcomDigi Berhad iaitu syarikat yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja selanjutnya yang merangkumi pemasangan peralatan elektronik, penyambungan gentian optik dan bekalan tenaga elektrik, sehinggalah kepada pengaktifan perkhidmatan 4G," kata beliau sempena majlis penyerahan menara itu di sini pada Rabu.

Fadzli (tengah) menyaksikan majlis penyerahan menara telekomunikasi Kampung Orang Asli Kuala Boh,Cameron Highlands pada Rabu.
Fadzli (tengah) menyaksikan majlis penyerahan menara telekomunikasi Kampung Orang Asli Kuala Boh,Cameron Highlands pada Rabu.

Beliau juga berterima kasih kepada semua pihak berkepentingan yang telah menyatakan komitmen untuk menyegerakan pembinaan menara itu semasa mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikannya pada 7 Februari lalu di Cameron Highlands, khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Koridor Utiliti Pahang (KUP), Jabatan Perhutanan, Pejabat Daerah Cameron Highlands, Majlis Daerah Cameron Highlands, pihak industri dan lain-lain.

"Terima kasih juga kepada pihak MEASAT yang telah menyediakan perkhidmatan 4G secara interim menggunakan teknologi satelit di KOA Kuala Boh bagi menampung keperluan perkhidmatan internet para penduduk sehingga menara ini siap beroperasi sepenuhnya.

"Sesungguhnya, pembinaan pantas menara ini wajar menjadi contoh serta ikutan untuk tapak-tapak menara lain di negeri Pahang yang sedang giat dilaksanakan ketika ini," jelas Fadzli.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini, daripada 270 menara baharu yang sedang dilaksanakan di Pahang di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela), sebanyak 53 menara telah pun siap dan beroperasi sepenuhnya.

"Sebanyak 217 menara lagi kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, yang dijangka siap secara berperingkat menjelang penghujung 2023," ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!